KOTA BHARU: Pendukung PAS perlu berhujah secara lojik dan matang bagi memastikan PERIKATAN NASIONAL (PN) terus kekal diterima rakyat di negara ini.
Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah berkata, PN tidak boleh bertahan sekadar bergantung kepada isu semata-mata.
Katanya, apa yang penting hujah logik dan bersifat baharu serta segar mesti dipelajari untuk menawan hati masyarakat terutama anak-anak muda.
“Jika isu hanya dijadikan modal untuk menarik sokongan ramai, ia tidak akan bertahan lama, seumpama air panas yang akhirnya akan menjadi sejuk.
“Sifat isu juga sedemikan akan menjadi panas dan mendidih, namun sekejap sahaja, lepas itu akan menjadi sejuk semula,” katanya ketika menerima kunjungan Assabiqat Malaysia di Kota Darulnaim semalam.
Sidang Assabiqun Malaysia diketuai Pengerusi As Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed. Turut hadir Pengarah Pusat Kajian Strategik Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof dan Ketua Assabiqat Kelantan, Rahimah Husin.
Mohd Amar juga berkata, pendukung parti termasuk Assabiqun perlu matang ketika berhujah dalam setiap ceramah atau ucapan di mana-mana program.
“Assabiqun dan Assabiqat semua peringkat juga perlu terus menyumbang kepada perjuangan parti dan bersama masyarakat di peringkat akar umbi.
“Peranan Assabiqun amat diperlukan dalam masyarakat memandangkan mereka banyak pengalaman berjuang ketika susah hingga akhirnya berjaya membentuk kerajaan.
“Assabiqun juga perlu memberi teguran kepada golongan muda yang berperanan sebagai pemimpin masa depan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/2/2024