Sibuk ‘main politik’, tapi tak yakin majoriti dimiliki?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak yang ‘bermain politik’ ialah apabila bersikap terus menindas sebahagian rakyat hanya kerana tidak mengundi mereka pada pilihan raya, demikian ungkap Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas).

- Advertisement -

“Yang ‘bermain politik’ ialah yang terus-menerus membuat dakwaan palsu tanpa bukti dan hujah. Saya bukan bercakap kosong, saya petik kenyataan YB Tanjong Karang pada beberapa hari lepas menyatakan bahawa sokong PM baru program jualan murah boleh dilakukan. 

“Ini adalah merupakan rasuah terang-terangan. Apa kaitan di antara sokong PM dengan program jualan murah? Rakyat saya di Pasir Mas, rakyat kami di Parlimen-parlimen pembangkang juga rakyat Malaysia. Apa masalah mereka, mereka tak dapat program jualan murah? 

“Ooh… kerana tidak sokong PM? Adakah wang ini merupakan wang peribadi Perdana Menteri? Ini merupakan rasuah secara terangan, sudahlah ‘bermain politik’. Kalau nak dikatakan ‘bermain politik’, inilah pihak yang benar-benar ‘bermain politik’ pada hari ini. 

“Saya nak menyeru kepada kerajaan. Kerajaan sudah ada lebih daripada dua pertiga majoriti. Apa nak ditakutkan lagi? Laksanakanlah kesemua janji bulan bintang, reformasi terpaling suci, terpaling hebat,” ujarnya.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat berucap demikian ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Tegas beliau, semua kata pernah diucapkan satu ketika dulu, kini adalah masanya untuk dilaksanakan dan membuktikan bahawa mereka benar-benar mementingkan reformasi dalam tempoh pemerintahan ini.

“Saya yakin kalau kita Ahli-ahli Parlimen, kita boleh dapat duduk, sepakat negeri-negeri, pembangkang, dapat diberikan apa yang berhak untuk mereka, suasana politik ini akan sejuk dan tidak ada masalah. Pelabur pun boleh melabur dengan begitu yakin dalam negara kita. 

“Soalnya bila anda menyatakan anda ada dua pertiga majoriti, adakah mereka sendiri tidak yakin majoriti yang ada di pihak mereka? Bila mereka kata bahawa kembalikan wang yang ‘disakau’ adakah yang ‘disakau’ itu merupakan rakan di sebelah dia sendiri?” soalnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -