Penduduk Bachok miliki sebuah lagi pasar baharu

- Advertisement -

BACHOK: Penduduk di jajahan ini memiliki sebuah lagi pasar baharu bagi membolehkan mereka mendapat keperluan harian di lokasi yang lebih selesa.

- Advertisement -

Pasar Awam Bachok yang dibina pemaju Induk Setia Sdn Bhd kini siap sepenuhnya, mempunyai 366 unit gerai akan dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi. (Foto atas)

Pasar dua tingkat itu akan menempatkan peniaga-peniaga dari Pasar Siti Aisyah dari Pekan Jelawat.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, di tingkat bawah akan ditempatkan peniaga menjual barangan basah, kering dan barangan runcit.

Manakala tingkat atas disediakan lot-lot bazar untuk pakaian dan medan selera.

“Kadar sewa amat berpatutan antara RM50 hingga RM200 seunit. Pasar Awam Baru ini merupakan salah satu komponen pembangunan yang terdapat di Bandar Baru Jelawat yang dibangun di kawasan seluas 22.7 ekar.

“Turut menyediakan kemudahan dan prasarana yang lengkap termasuk lot-lot kedai perniagaan, lot industri kecil dan sederhana (IKS), stesen bas, Pasar Raya Pantai Timur, klinik, farmasi dan pelbagai lagi.

“Bandar Baru Jelawat dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 1,500 penduduk tempatan selain membuka peluang perniagaan,” katanya selepas melawat pasar tersebut semalam. (Foto bawah)

Menurutnya kewujudan Bandar Baru Jelawat akan melengkapkan pembangunan sebagai Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam (MDB-BPI).

Sementara itu, ketika lawatan ke Bachok, Hilmi turut meninjau lokasi pelancongan pantai yang menjadi tumpuan ramai.

Antara lokasi menarik termasuk Pantai Irama, Pantai Melawi, Pantai Senok, Pantai Kemayang, Pantai Cherang Laut, Pantai Aur, Pantai Telong, Bukit Marak dan Kubu Jepun Kuala Gel.

Beliau turut menyempurnakan penyampaian surat kelulusan peruntukan kepada MDB-BPI bernilai RM730,000, replika cek bagi pembelian tong sampah sebanyak RM124,000.

Sebagai simbolik program kebersihan turut diadakan penyampaian Apron Geraiku Bersih yang akan diagihkan kepada peniaga Bazar Ramadan tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!