KUALA LUMPUR: Konsep Federalisme yakni gabungan antara penyatuan negeri-negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak yang membentuk Persekutuan Malaysia di mana segala tujuan dan persefahaman telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) berkata, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi rujukan utama negara jelas menggariskan bidang kuasa kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat.
“Semangat Federalisme akan luntur jika salah satu pihak tidak menghormati dan bersikap semberono yang bertentangan dengan konsep Federalisme. Saya melihat konsep Madani yang dilancarkan oleh kerajaan sekadar slogan yang meniti di bibir sahaja.
“Penghayatannya agak sedikit. Asasnya konsep Federalisme ini membawa nilai yang sama. Namun saya pelik melihat gelagat beberapa menteri yang mengadakan program di negeri dan juga Parlimen Perikatan Nasional (PN) tapi tiada jemputan kepada kerajaan negeri dan juga wakil rakyat setempat,” ujarnya.
Muhammad Fawwaz yang juga pendakwah terkenal berucap demikian ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Menurut beliau, setiap negeri dalam Persekutuan Malaysia ini ada peranannya sendiri misalnya Kedah sanggup mengorbankan pulangan ekonomi demi membekalkan beras kepada negara dan juga menanggung kos besar untuk melestarikan kawasan tadahan Ulu Muda.
Demikian itu tegasnya, pengorbanan Kedah ini sewajarnya mendapat perhatian daripada Kerajaan Persekutuan dengan melunaskan tuntutan untuk mendapatkan pampasan kerana ia mempunyai asas yang jelas.
Begitu juga katanya, dengan Kelantan dan Terengganu yang mempunyai sumber minyak di perairan negeri mereka di mana wang royalti mesti diberikan sebagaimana perjanjian kerajaan negeri dan PETRONAS termaktub dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974.
“Menteri Kewangan dan PETRONAS perlu melunaskan perjanjian yang dimeterai sekali gus menjunjung semangat Federalisme. Konsep federalisme ini perlu dihormati agar tiada persengketaan antara kerajaan negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.
“Pemimpin yang memegang tampuk pemerintahan perlu bijaksana menguruskan konsep Federalisme ini agar Persekutuan ini bebas daripada unsur yang tidak sepatutnya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 28/2/2024