Projek saluran paip gas Pakistan-Iran kembali dimulakan

Projek saluran paip Pakistan-Iran sudah tertunda sejak 10 tahun lalu. (FOTO: MNA)
- Advertisement -

TEHRAN: Dalam satu langkah penting ke arah meningkatkan kerjasama tenaga antara Pakistan dan Iran, Islamabad telah memberi lampu hijau untuk memajukan kerja-kerja saluran paip gas yang tertangguh dalam wilayahnya.

Ini menandakan kemajuan besar dalam projek saluran paip gas Pakistan-Iran.

Kelulusan itu dibuat ketika Pakistan bergelut untuk mengelak denda AS$18 bilion, dengan kerajaan negara itu lalu membenarkan permulaan kerja yang lama ditunggu-tunggu pada fasa awal 80 kilometer dalam sempadannya.

- Advertisement -

Penganalisis berkata, projek itu akan meningkatkan keselamatan tenaga Pakistan dan menyokong industri serantau dengan menyediakan bekalan gas yang stabil dan dipertingkatkan, lapor MNA.

Terdahulu, Iran telah melanjutkan tarikh akhir projek selama 180 hari sehingga September 2024 bagi mengelakkan pertikaian undang-undang dengan Pakistan di tribunal antarabangsa.

Projek itu yang dilancarkan pada 2013, pada mulanya memerlukan Pakistan menyelesaikan pembinaan saluran paip di wilayahnya menjelang akhir 2014.

Bagaimanapun, projek itu menghadapi kelewatan yang berpanjangan dan tertunda selama 10 tahun ekoran situasi ditimbulkan terhadap Pakistan di tengah-tengah sekatan antarabangsa yang menyasarkan Iran.

Kelewatan itu telah mengecewakan Iran, yang telah melabur AS$2 bilion dalam saluran paip di sebelah sempadannya setelah menyelesaikan bahagian saluran paipnya.

Pakistan juga telah menyatakan komitmennya untuk membina saluran paip sepanjang 800 kilometer ke sempadan Iran menjelang akhir 2014.

Walau bagaimanapun, Islamabad tidak dapat memenuhi akhir perjanjian itu di tengah-tengah tekanan Amerika Syarikat dan di bawah ancaman sekatan. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

- Advertisement -