Tamat kontrak Ketua Pengarah Pelancongan bermotif politik?

- Advertisement -

PADANG BESAR: Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi mengecam dan menuntut penjelasan berhubung penamatan kontrak perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Negara, Datuk Dr Ammar Abd Ghappar.

- Advertisement -

“Isu penamatan kontrak Datuk Dr Ammar ini saya lihat tidak ada alasan yang kukuh. Saya secara peribadi mengenali beliau sebagai seorang yang komited dan dedikasi terhadap kerja serta hala tuju pelancongan di Malaysia,” katanya.

Beliau juga sependapat dengan Ketua Portfolio Pelancongan Seni dan Budaya Perikatan Nasional (PN), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin dan menekankan pentingnya pemisahan antara operasi dan pentadbiran dalam menerajui sebuah kementerian.

“Budaya mencampurkan urusan operasi dan pentadbiran akan menjadi duri dalam daging. Anggota pentadbiran di kalangan ahli politik sepatutnya menjadi payung menaungi kementerian dengan tadbir urus yang baik,” tambahnya.

Rushdan juga memohon agar pihak kementerian memberikan penjelasan yang sebenar berkaitan dengan pemecatan Datuk Dr Ammar dan menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak sepatutnya wujud tekanan politik.

“Isu ini juga disebut akan memberi impak kepada beberapa negeri yang sedang atau dalam persiapan untuk Tahun Melawat Negeri masing-masing termasuk Perlis,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 24/2/2024

- Advertisement -