KOTA BHARU: Negeri-negeri di bawah ‘state government 4’ (SG4) dicadangkan melaksanakan usaha untuk mempertingkatkan keluasan tanah rizab Melayu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis wajar memberi tumpuan isu tersebut kerana ia sangat dekat dengan hati nurani orang Melayu.
Katanya, negeri SG4 dicadang memberi fokus kepada usaha menambah tanah keluasan tanah rizab Melayu berbanding menumpu projek-projek mega.
“Kerajaan negeri boleh menyediakan insentif kalau ada penduduk yang berminat menukar status tanahnya kepada rizab Melayu.
“Kedah Perlis dan Terengganu perlu berani membuat perubahan itu seperti dilaksanakan di Kelantan dengan mengawal tanah rizab Melayu sejak dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentang kertas kerja bertajuk, Masa Depan dan Cabaran PAS sempena Konvensyen PAS Kota Bharu di sini baru-baru ini.
Mantan Ahli Parlimen Ketereh itu turut mencadangkan SG4 wajar menjadikan masjid sebagai institusi transformasi masyarakat untuk memastikan pembasmian kemiskinan dan bantuan rakyat dilaksana dengan mudah.
Menurut beliau, perkara itu pernah dibuat pada zaman Nabi Muhammad SAW yang menjadikan institusi masjid sebagai pusat pemerintahan negara, melaksanakan strategi peperangan dan aktiviti komuniti.
“Masjid hendaklah dijadikan pusat pembasmian kemiskinan anak-anak mukim dengan memberi pelbagai bantuan dan program.
“Kita perlu meletakkan masjid sebagai asas kemajuan dan pembangunan sekitarnya yang belum lagi meluas sehingga sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2024