AMMAN: Jordan memberi amaran terhadap kemungkinan tindakan ketenteraan Israel di Rafah, kawasan di selatan Semenanjung Gaza yang padat dengan penduduk pelarian Palestin.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat, Sufyan Qudah pada hari ini, Ahad (11 Feb) mengulangi penolakan tegas Jordan terhadap pemindahan rakyat Palestin dari Semenanjung Gaza, menekankan pentingnya menamatkan permusuhan, melindungi orang awam, dan memudahkan mereka pulang dengan selamat ke rumah masing-masing.
Sehubungan itu,beliau menggesa campur tangan antarabangsa yang pantas untuk menghentikan kempen ketenteraan Israel di Gaza, yang telah menyebabkan ‘malapetaka kemanusiaan yang belum pernah terjadi sebelumnya’.
Beliau juga menekankan keperluan mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menunaikan tanggungjawabnya dengan segera mengenakan gencatan senjata bagi mengelak peningkatan yang lebih teruk, lapor AFP.
Sementara itu, Direktorat Operasi dan Hal Ehwal Konsular kementerian itu mendedahkan bahawa usaha berterusan dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menyiasat kematian seorang warga Jordan di kediamannya di Ramallah di Tebing Barat.
Pejabat Perwakilan Jordan di Ramallah memulakan prosedur untuk menghantar pulang mayat mangsa yang meninggal dunia dengan penyelarasan dengan keluarga sebaik siasatan selesai. – HARAKAHDAILY 11/2/2024