BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melakar sejarah lagi apabila Laman Woodball UMK diiktiraf sebagai gelanggang Woodball pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan dari Persatuan Woodball Malaysia (WMA).
Pengiktirafan tersebut sekali gus juga menjadikan ia sebagai gelanggang woodball pertama di Kelantan.
Majlis perasmian gelanggang yang menepati piawaian WMA itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak, di Lobi Bangunan Canselori dan Laman Woodball, UMK Bachok, di sini, hari ini.
Detik bersejarah itu, turut disaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Mohammad Ismail; Penolong Pengarah (Khidmat Pengurusan) Majlis Sukan Negeri Kelantan, Tuan Aziz Tuan Mat; Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Hazri Nizam Zakaria; Naib Presiden WMA, Zulkarnain Mohamed Shaharuddi; dan Pengarah Pusat Sukan UMK, Wan Ahmad Khairul Wan Ahmad Najib.
Razli berkata, dengan pengiktirafan tersebut, Laman Woodball UMK akan dijadikan lokasi pertandingan sirkit woodball peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan tahun ini.
“Gelanggang ini mula dibangunkan pada Julai tahun lepas menerusi peruntukan yang besar bagi memastikan pembinaan gelanggang woodball ini berjalan lancar,” katanya.
Menurutnya, pengiktirafan tersebut merupakan satu penghargaan yang sangat besar buat UMK khususnya untuk membangunkan bidang sukan buat kalangan pelajar sekolah, orang awam, agensi kerajaan dan sebagainya.
“Saya di maklumkan Persatuan Woodball Malaysia kini dalam proses membida acara woodball dalam Kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA),” ujarnya.
Tambah beliau, dengan berlangsungnya kejohanan-kejohanan yang dipertandingkan ini, menjadi sebahagian daripada program keusahawanan sosial khususnya dalam memacu ekonomi penduduk setempat, selain khidmat komuniti UMK kepada masyarakat.
Pada majlis itu juga, Razli dan tetamu kenamaan berpeluang mencuba permainan sukan woodball yang terletak berhampiran tasik UMK. – HARAKAHDAILY 9/2/2024