KUALA TERENGGANU: Tanpa hilang hormat kepada Mahkamah Persekutuan, Putrajaya yang telah mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah, ia ternyata sangat mendukacitakan seluruh umat Islam di Malaysia.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, susulan keputusan institusi mahkamah berkenaan, maka Jumaat (9 Feb) merupakan hari kelam dan peristiwa hitam (Black Friday) yang akan dikenang seluruh umat Islam di negara ini.
“Cabaran terhadap undang-undang syariah ini akan memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan syariah bukan sahaja di Kelantan, bahkan di seluruh negara termasuk Terengganu,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu.
Terdahulu, mahkamah berkenaan telah membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempatisyen bagi mencabar 18 peruntukan enakmen tersebut. – HARAKAHDAILY 9/2/2024