PUTRAJAYA: Perikatan Nasional (PN) menghormati kuasa mahkamah untuk mentafsir undang-undang, namun menegaskan pada masa sama, dalam sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa, Parlimen mempunyai kuasa untuk membuat dan meminda undang-undang.
Sehubungan itu, Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya segera melakukan pindaan yang sesuai pada peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memastikan kedudukan undang-undang Islam sentiasa terjamin.
“(Juga) hak umat Islam di negara ini untuk dinaungi oleh undang-undang Syariah dalam kehidupan mereka sentiasa terpelihara,” ujarnya menyatakan dukacita di atas keputusan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau percaya majoriti umat Islam di negara ini juga berdukacita dengan keputusan ini di mana perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam tidak menjadi kesalahan.
“Seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan.
“Saya percaya jika ada pihak yang mencabar kedudukan undang-undang Islam di negeri-negeri lain, undang-undang tersebut juga akan diisytiharkan tidak sah berdasarkan ‘precedent’ telah dibuat dalam kes Nik Elin itu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024