Pelihara kuasa, kepentingan hal ehwal Islam negeri

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menegaskan bahawa daripada keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini jelas menunjukkan bahawa telah memberi impak besar kepada kuasa negeri di bawah Sultan atau Raja.

- Advertisement -

Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki dalam kenyataan rasmi pertubuhan itu berkata, khususnya di dalam cabaran yang dikemukakan iaitu penafsiran punca kuasa di dalam membuat undang-undang jenayah di Malaysia.

Beliau mengulas keputusan sembilan hakim yang secara majoriti (8-1) berkenaan cabaran undang-undang oleh pihak pempetisyen iaitu Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid ke atas Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Di mana telah memutuskan bahawa Badan Perundangan Negeri Kelantan yang meluluskan beberapa senarai kesalahan termaktub di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah tidak sah dan dibatalkan.

“Berdasarkan kepada keputusan ini, PPMM menerima keputusan oleh panel hakim tersebut namun menegaskan bahawa beberapa tindakan segera perlu dilakukan oleh pihak-pihak bekepentingan demi menjaga kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

“PPMM juga menggesa pihak kerajaan melalui cabang legislatif untuk melakukan tindakan segera di dalam membuat sebarang pindaan-pindaan yang wajar di dalam undang-undang bagi memastikan kuasa negeri dapat dikekal dan/atau ditambah baik dalam hal ehwal agama Islam bagi mengelakkan kelompongan di dalam bidangkuasa sedia ada.

“Tambahan pula, PPMM menggesa tindakan yang lebih efektif untuk dilakukan oleh melalui Jawatankuasa Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam di dalam memberikan syor yang terbaik kepada pihak kerajaan di dalam memastikan tiada pertindihan kuasa negeri khusus berkenaan hal ehwal islam dapat diselesaikan.

“Syor-syor ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada umat Islam di dalam mengamalkan ajaran Islam dan dilaksanakan dengan kadar segera dan menutup ruang cabaran undang-undang seperti ini pada masa akan datang,” ujarnya.

PPMM menurutnya, percaya pelbagai usaha yang jitu perlu dilakukan oleh semua pihak yang berkepentingan di dalam memastikan kuasa negeri khusus berkenaan hal ehwal agama Islam dapat dipelihara.

Muhamad Hisham juga menggesa usaha-usaha tersebut dapat dilaksanakan melalui kuasa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan demi mengarusperdanakan syariah. – HARAKAHDAILY 9/2/2024