Naga lambang keunggulan raja-raja zaman dahulu 

Kok Siang (dua dari kanan) ketika menyampaikan bantuan sempena Tahun Baru Cina di Alor Setar, Kedah.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Masyarakat Cina Tionghua percaya naga iaitu haiwan kelima daripada 12 zodiak Cina dalam kalendar Lunar melambangkan kekuasaan dan kekayaan.

Perayaan Tahun Baru Cina yang ditandai sebagai tahun naga pada tahun ini adalah disifatkan penuh bermakna akan disambut pada esok, Sabtu (10 Feb).

- Advertisement -

Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Kuan Kok Siang, berkata haiwan mitos itu juga dipercayai sebagai lambang keunggulan raja-raja zaman dahulu. 

“Tahun 2024 dalam kalendar zodiak Cina ialah tahun naga yang dianggap sebagai tahun amat bagus. Orang Cina selalunya suka untuk melahirkan anak pada tahun naga.

“Ini kerana naga ialah satu-satunya binatang mitos dalam zodiak Cina yang merupakan simbol kuasa, keunggulan dan juga lambang raja di zaman dulu,” katanya kepada HarakahDaily.

Sementara katanya, limau Mandarin dalam kepercayaan masyarakat Tionghua pula melambangkan unsur kekayaan, nasib dan status.

Beliau yang juga pemimpin Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kedah, berkata, menjelang Tahun Baru Cina adalah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Cina memberi buah limau mandarin kepada kenalan dan saudara mara. 

“Limau Mandarin melambangkan unsur-unsur seperti kekayaan, nasib dan status. Perkataan Mandarin itu pulak membawa maksud ’emas’. 

“Semoga pada Tahun Baru Cina tahun ini membawa segala kebaikan yang datang bersama limau Mandarin ini.

“Ketika perayaan, orang Cina bersama-sama mengucapkan Gong Xi Fa Cai yang bermaksud semoga kekayaan dan mendapatkan duit yang banyak,” tambahnya. 

Beliau juga berharap dalam tahun naga yang dianggap mempunyai keistimewaan tersendiri ini melimpahkan kebaikan kepada negeri Kedah.

“”Marilah kita bersama-sama merealisasikan Kedah Sejahtera, nikmat kepada semua,” katanya lagi. 

Selanjutnya kata beliau, rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat negeri Kedah akan diadakan di Kampung Warisan Kebudayaan Pertubuhan Kebajikan San Shen dekat Tanjung Bendahara.

“Program tersebut akan dirasmikan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor,” katanya.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -