Jangan buang kulit limau Mandarin

Kulit limau Mandarin banyak manfaatnya. (FOTO: Facebook@TNB Careline)
- Advertisement -

SETIAP kali sambutan Tahun Baru Cina, limau Mandarin pasti menjadi satu kemestian dan banyak dijual sebagai salah satu simbolik perayaan itu.

- Advertisement -

Limau memiliki rasa manis dan masam serta kaya dengan pelbagai nutrisi seperti vitamin C, kalsium, serat, karbohidrat dan antioksidan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) Malaysia menerusi kenyataan di Facebook, berkongsi pelbagai manfaat kulit limau Mandarin yang boleh dibuat sendiri untuk dijadikan snek ataupun alat membersihkan kediaman.

Pertama, kulit limau itu mampu membersihkan parkakas dapur yang degil kerana minyak semula jadi yang terhasil dalam kulit limau sangat bagus untuk menghilangkan kotoran dan memberi kilauan seperti kuali dan pinggan mangkuk.

Kedua, ia juga boleh digunakan untuk membersihkan lantai rumah. Ia membantu mengurangkan bau tajam peluntur dan menambah daya pembersih kerana ia mengandungi asid sitrit.

Ketiga, kulit limau juga boleh dijadikan sebagai pewangi almari. Caranya ialah potong kulit limau menjadi kecil dan campurkan dengan serbuk penaik dalam mangkuk kecil. 

Hasilnya, kulit limau tersebut bertindak sebagai pewangi semula jadi serta menjaga kualiti udara di dalam dan tetap segar.

Akhir sekali, snek kulit limau Mandarin dengan menggunakan hanya lima bahan di dapur sahaja iaitu kulit limau, air, gula, garam dan ekstra vanila. 

Snek kulit limau manis yang telah direneh dalam sirap ringkas dan disalut dengan gula yang sesuai dijadikan pencuci mulut.

Jadi, manfaatkan apa yang ada di rumah, selamat mencuba dan selamat bercuti sempena Tahun Baru Cina 2024.  HARAKAHDAILY  9/2/2024

- Advertisement -