PERTAHAN Syariah, bukan sekadar laungan, namun diterjemahkan dalam bentuk spiritual. Pada 18 November 2023 kerajaan Kelantan menganjurkan solat hajat Pertahan Syariah di Stadium Sultan Muhammad IV. (Foto atas)
Puluhan ribu rakyat Kelantan hadir. Ada juga yang datang dari Perak, Terengganu, Kedah, Perlis dan pelbagai tempat lagi. Mereka sanggup basah kuyup demi Pertahan Syariah.
Solat hajat itu diimamkan ulama terkenal Syeikh Wazir Che Awang. Program rohani terbabit diadakan selepas solat Isyak di tengah curahan hujan di padang stadium.
Dan pagi 19 November 2023 sekali lagi solat hajat diadakan. Ia diadakan di perkarangan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya.
Kesungguhan rakyat Kelantan sebagai tindak balas terhadap petisyen yang difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Kelantan.
Dan sekali lagi ribuan rakyat Kelantan solat hajat di perkarangan Istana Keadilan di Putrajaya pagi tadi, namun kali ini kebimbangan umat Islam di negara ini benar-benar muncul.
Pasangan peguam terbabit hari ini berjaya dalam permohonan mereka mendapatkan pembatalan daripada mahkamah terhadap 16 peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Kelantan.
Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1. Mahkamah membenarkan petisyen terbabit.
Cuba kita selidiki apa yang dimahukan mereka.
Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat – tidak sah
Seksyen 13: Menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau Muslim yang tercela dari segi moral- sah
Seksyen 14: Liwat – tidak sah
Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat – tidak sah
Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia – tidak sah
Seksyen 30: Perkataan yang boleh memecahkan keamanan – sah
Seksyen 31: Gangguan seksual – tidak sah
Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu – tidak sah
Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan – tidak sah
Bahagian 39: Mengurangkan timbangan, ukuran dan berat – tidak sah
Seksyen 40: Melaksanakan transaksi yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah) – tidak sah
Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga melalui riba – tidak sah
Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal – tidak sah
Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat – tidak sah
Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat – tidak sah
Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan – tidak sah
Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram – tidak sah
Seksyen 48: Muncikari (ibu/ bapa ayam atau perantara pelacuran) – tidak sah.
Dan Tengku Maimun mengingatkan apa yang dicabar Nik Elin dan Tengku Yasmin bukanlah mengenai kedudukan Islam dan sistem kehakiman syariah di Malaysia.
Sebaliknya kata Ketua Hakim Negara itu yang dipertikaikan ialah keabsahan perlembagaan terhadap 18 peruntukan enakmen Kelantan.
Inilah yang membuat umat Islam keliru. Lebih pelik lagi apabila 16 daripada 18 tuntutan dibuat pempetisyen seperti diiyakan Mahkamah Persekutuan.
Penjajah
Tentunya kes itu bukan sekadar mengikat Mahkamah Syariah di Kelantan, sebaliknya di seluruh negara. Di mana takrifan yang menyebut Islam sebagai Agama Persekutuan.
Hampir 67 tahun lalu kehidupan umat Islam di tanah Malaya aman damai apabila bidang kuasa Mahkamah Syariah tidak pernah dipertikaikan.
Penjajah British secara moral memberi kuasa berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu di bawah Sultan atau raja, selaras sebagai ketua agama.
British tahu Perlembagaan Johor 1895 terdapat ciri-ciri Islamik. Di mana ia dinukilkan elemen-elemen pemerintah bangsa Melayu, keturunan diraja Johor dan beragama Islam.
Malah, perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu terdapat 183 Perkara yang menjadi asas kerangka Perlembagaan Persekutuan 1957.
Peguam Zainul Rijal Abu Bakar menyebut perlembagaan negeri memperuntukkan Islam sebagai agama negeri. Manakala Sarawak memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong ketua bagi agama Islam.
“DUN boleh membuat undang-undang dan peraturan berkaitan hal ehwal agama Islam,” katanya pada kolum di sebuah akhbar 29 Januari lepas.
Apa yang berlaku sekarang secara jelas menggambarkan Malaysia sebuah negara Islam hanya pada aspek syiar dan bukan dari segi syariat.
Mengulas perkembangan itu Timbalan Exco kerajaan Kelantan Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, penghakiman kes Nik Elin majoriti 8-1.
Katanya majoriti hakim berpendapat Badan Perundangan Kelantan tidak boleh membuat undang-undang yang menjadi bidangkuasa Persekutuan.
“Oleh itu mereka batalkan 16 daripada 18 peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Kelantan.
“Hanya ada satu keputusan menentang yang menyatakan pempetisyen tidak berhak pun untuk menfailkan petisyen tersebut kerana dia tidak ada kaitan dengan mana-mana sekyen yang dipertikai,” katanya ketika dihubungi. – HARAKAHDAILY 9/2/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!