Pinda Perlembagaan lindung kedaulatan perundangan Syariah

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar mengkaji suatu pindaan Perlembagaan yang bersesuaian bagi melindungi kedaulatan undang-undang Syariah sekali gus memperkasa dan mempertahankan sistem Kehakiman Syariah negara ini.

- Advertisement -

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan demikian sebagai mengulas kes petisyen difailkan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terhadap 18 peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan.

Peguam wanita tersebut mencabar Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengisytiharkan peruntukan berkenaan sebagai terbatal dan tidak sah yang keputusannya bakal diumumkan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya esok.

Presiden BERSATU itu berkata, cabaran terhadap undang-undang Syariah ini amat dikesali kerana petisyen tersebut akan memberi kesan dan impak negatif kepada sistem perundangan Syariah bukan sahaja di Negeri Kelantan, tetapi di seluruh negara.

“Menginsafi peristiwa yang mendukacitakan ini, saya menyeru agar Ahli-Ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam sebagai anggota badan legislatif untuk bersatu dan berdiri teguh di belakang Yang di-Pertuan Agong.

“(Juga) Majlis Raja-Raja dan Sultan Sharafuddin Idris Shah ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Dan bersedia menjunjung apa jua titah dan perkenan sekalian baginda dalam mempertahankan sistem perundangan Islam di negara ini.

“Marilah kita semua berdoa agar keputusan Mahkamah Persekutuan esok akan menyebelahi Kerajaan Negeri Kelantan dan umat Islam secara keseluruhannya,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 8/2/2024