Tarbiah tunjang kekuatan PAS, ahli berintegriti

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tarbiah yang menjadi tunjang kekuatan PAS, sering ditekankan bagi melahirkan ahli parti yang mengamalkan integriti dan ketelusan yang tinggi dalam melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan tanggungjawab.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, itulah yang menjadikan ahli dan pimpinan PAS tidak pernah terlibat dalam rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa sama ada sebagai kerajaan mahupun pembangkang.

Beliau berkata, tarbiah yang dilakukan secara tersusun seperti usrah, liqa fikri, ijtimak tarbawi dan sebagainya dapat melahirkan seorang insan yang sentiasa merasakan dirinya dipantau Tuhan setiap waktu dalam kehidupan.

“Ini yang kita tekankan kerana untuk kita ini menjadi ahli PAS yang sayang kepada Islam dan perjuangannya, ini juga melahirkan insan yang merasakan Allah sentiasa observe kita, itu yang menjadi kekuatan kita.

“Kita didik supaya kita tidak pernah terlibat dengan rasuah, salah guna kuasa, tunai hak awam dana awam kita tidak guna, SPRM mungkin tidak tahu, ‘income tak’ tak mungkin tidak tahu begitu juga pihak polis mungkin tak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Konvensyen Tarbiyah PAS Negeri Kelantan 2024 yang diadakan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK) Pengkalan Chepa di sini malam tadi.

Hadir sama Pesurujaya PAS negeri, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob; Timbalan Pesuruhjaya 1 Dato’ Mohd Amar Abdullah, Dato’ Dr Johari Mat (Timbalan Pesuruhjaya 2) dan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan (Timbalan Pesuruhjaya 3).

Idris yang juga Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat berkata, walau apa pun yang berlaku, tarbiah tetap diteruskan kerana merupakan proses mendidik jiwa menjadi manusia yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Menerusi proses itu juga katanya lagi, PAS tidak mendidik ahlinya supaya taasub kepada pimpinan tertinggi parti sebaliknya mementingkan tarbiah yang menjadi PAS tetap utuh sehingga kini walaupun berlaku perpecahan pada tahun 2015.

Beliau berkata dahulu ramai pimpinan PAS mengumumkan keluar parti, meninggalkan perjuangan dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN), sedang sebahagian besar ahli PAS tidak mengikut jejak langkah segelintir individu terbabit.

“Ahli PAS tidak ikut, ahli PAS dia wala’ kepada pimpinan, selagi pimpinan kita ini wala’ kepada Allah dan Rasul, wala’ kepada jemaah maka kita ikut, bila mereka tinggalkan, PAS tetap utuh dan terus mendapat sokongan rakyat hingga sekarang.

“Hebat macam mana pun kamu sebab kamu wala’ kepada Allah Rasul dan jemaah, kamu tinggal perjuangan tiada apa kerana kita didik ahli kita untuk taat Allah dan Rasul, bukan suruh taasub kepada pimpinan, ini tarbiah kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2024