KPKT selamatkan Kg Baru Cina, hapus Kg Melayu Tradisi?

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dasar menyelamatkan Kampung Baru Cina dan menghapuskan Kampung Melayu Tradisi yang sedang menjadi agenda Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah menifestasi dari gagasan agenda DAP.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa merujuk perkara itu kepada kesinambungan Deklarasi Setapak 1967 yang membawa wawasan ‘Malaysian Malaysia’ kononnya atas dasar membina kesamarataan.

“Kenyataan Menteri KPKT yang cuba menyelamatkan Kampung Baru Cina dengan meletakkan sebagai aset warisan di UNESCO adalah satu cara menghalalkan matlamat mereka.

“Sedangkan beliau menyepi dalam isu Kampung Melayu Tradisi yang sedang bergelut dengan isu pengambilan balik tanah serta dihalau keluar bagi tujuan (pembinaan) Kolej TAR dan ECRL kononnya atas nama pembangunan pendidikan dan ekonomi negara.

“Wayang opera agenda DAP kononnya memelihara warisan Kampung Baru Cina adalah umpama kaduk naik junjung, sedangkan penghuni Kampung Melayu Tradisi telah dihalau bagai anjing kurap dalam isu Kolej TAR,” ujarnya.

Beritahu beliau, seramai 500 penduduk Setia Jaya Setapak dihalau, selaij isu 80 penduduk Taman Kampung Sireh Kelang bagi projek ECRL dan ratusan penduduk Kampung Sungai Cinchin di Gombak juga dihalau.

“Dimana suara dan agenda Menteri KPKT yang nak memelihara warisan Kampung Tradisi Melayu? Adakah beliau hanya Menteri KPKT warisan Cina? Tiadakah Kampung Tradisi Melayu yang juga boleh dicalonkan ke UNESCO?

“Dasar ‘double standard’ sedang berlaku dalam negara ini di zaman Kerajaan Madani dan apakah ini perkauman atau ini isu hak rakyat peribumi negara ini?” persoal beliau.

Kanun Tanah Negara (KTN) 1966 menurutnya, memperuntukkan dua jenis kategori tanah sahaja, iaitu Tanah Rizab Melayu dan bukan rizab Melayu, sebaliknya tiada istilah Kampung Baru Cina dalam KTN.

“Tanah ini boleh dilupuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut Seksyen 76 sama ada diberi milik secara pajakan atau selama-lamanya. Tiada keistimewaan kepada Kampung Baru Cina sehingga diangkat sebagai warisan ke UNESCO.

“Tetapi bagi Tanah Rizab Melayu ia termaktub kukuh dalam KTN dan tidak boleh dicabar dibawah Hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dibawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.

Mohd Zai berkata, sewajarnya dan sudah sampai masanya Kampung Baru Cina dilupuskan secara beransur-ansur kerana kewujudannya adalah bagi mengekang pengaruh komunis pada zaman Tun Abdul Razak Husein.

Sebaliknya tegas beliau, sudah sampai masanya Tanah Rizab Melayu yang wujud dibawah KTN dan Kampung Tradisi Melayu diangkat sebagai warisan sejarah yang dahulunya juga dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu.

“(Iaitu dibawa) ke UNESCO sebagaimana telah dipersetujui oleh pihak British sewaktu menyerahkan kemerdekaan negara,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -