KUALA LUMPUR: Islam telah mengembalikan kemuliaan dan kehormatan kaum wanita dengan memberikan hak yang sesuai dengan sifat kewanitaannya.
Pengerusi As Sabiqun PAS Pusat, Dato’ Dr. Mahfodz Mohamed, berkata sebelum kelahiran Islam, kaum wanita telah hilang haknya.
Katanya, di mana sebelum Islam mereka dijadikan bahan untuk memuaskan nafsu lelaki bahkan mereka pernah ditanam hidup-hidup.
Sehubungan itu, beliau berkata, Islam telah mengangkat maruah kaum wanita dengan memberi hak yang sama dengan kaum lelaki dalam aspek pendidikan, pilihan raya dan bersuara.
Menurut beliau, Islam turut memberi hak kaum kaum wanita dalam bidang politik untuk dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihan raya yang diadakan.
Justeru tegas beliau, wanita mempunyai hak yang sama dengan kaum lelaki di mana juga mereka berada.
Bagaimanapun kata beliau, terdapat beberapa perkara yang diharamkan kepada kaum lelaki kerana melakukan kerosakan dan kebinasaan.
Maka katanya, begitulah kaum perempuan pun dilarang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.
Ini kerana tambah beliau, Islam memerintahkan kaum perempuan dan lelaki mesti memelihara kehormatan dan kesucian dalam batas-batas yang sama.
” Allah SWT telah mencipta lelaki dan perempuan dalam keadaan yang sama cuma berbeza dari segi bentuknya.
“Dan perempuan tidak diciptakan Allah lebih rendah atau lebih tinggi daripada kaum lelaki.
“Dengan yang demikian bolehlah dikatakan bahawa kedua jenis lelaki dan perempan sempurna dan menyempurnakan antara satu sama lain dengan masing-masing mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!