DAP sedang cuba memperibumikan kaum bukan Melayu?

Datuk Ahmad Amzad Hashim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berbilang bangsa wajib membuka mata seluas-luasnya terhadap perjuangan DAP yang sejak akhir-akhir ini makin ketara hanya mahu mencapai agenda kepentingan politik sempit parti tersebut semata-mata.

- Advertisement -

Terbaharu, pemimpin DAP merancang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di beberapa negeri sebagai Tapak Warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengerusi Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jelas usaha Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu tidak bertujuan Nasional atau kepada seluruh rakyat dan negara.

“Sebaliknya beliau menggunakan kedudukan jawatan atau kuasanya di KPKT bagi melaksanakan tindakan yang secara halus akan melebarkan lagi polarisasi kaum dan mengembangkan sentimen perkauman melampau.

“Cauvinisme itulah motif di sebaliknya, malah mungkin akan ada suntikan jahat ultra kiasu pihak tertentu yang konon-kononnya kaum minoriti tidak mendapat keadilan sewajarnya untuk hidup di bumi Malaysia.

“Ini kerana jika pencalonan itu bermatlamatkan nasional, sudah pasti ada yang lebih utama diberikan pengiktirafan, terutama pencalonan telah sedia ada dalam senarai Jabatan Warisan Negara,” ujar Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu.

Beliau merujuk Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak; Pusat Kawalan Kusta Sungai Buloh dan Taman Hutan FRIM serta Permatang Kuarza Gombak di Selangor; Taman Negeri Royal Belum di Perak; dan Taman Negara Semenanjung Malaysia.

Menurutnya, dalam pemerhatian mata rakyat Malaysia masyhur sekali Bangunan Sultan Abdul Samad dan Bangunan Kereta Api Tanah Melayu serta Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, selain Stesen Keretapi Kuala Lumpur lebih patut dicalonkan.

Bahkan, ujar beliau, di semua negeri juga tegas beliau, terdapat banyak terutamanya istana Raja-raja Melayu dan bangunan penting yang lebih melambangkan nilai sejarah, budaya dan keunikan serta kehidupan asal penduduk negara ini.

“Semua itu lebih layak dan utama didahulukan untuk diberikan pengiktirafan sebagai Tapak Warisan UNESCO, berbanding Kampung Baru Cina. Sedangkan ia penempatan yang hanya baharu wujud seawal tahun 1948.

“Apatah lagi, ia diwujudkan secara darurat atau terpaksa bagi mengekang ancaman dan pengaruh Komunis ke atas kaum Cina khususnya ketika itu. Langkah kerajaan tidak ‘membubarkan’ semua penempatan tersebut sepatutnya dihargai.

“Tetapi kini, DAP cuba menggunakan status tersebut untuk mewujudkan ‘wilayah terasing’ bersama ‘perlindungan khas’. Semua ini motif politik yang selari dengan rancangan persempadanan terpilih kawasan pilihan raya dan Pilihan Raya PBT.

“Orang Melayu dan Bumiputera sebagai majoriti rakyat serta penduduk asal telah menunjukkan sikap tolak ansur menerima kaum-kaum pendatang. Tetapi akhirnya kami pula ditolak beransur-ansur, ini bukan perpaduan!” bidasnya.

Beliau kesal melihat ketidakadilan, malah penindasan ke atas kaum Melayu berlaku dengan ketara apabila banyak penempatan atau tanah diduduki telah dilenyapkan menggunakan kelebihan wang dan pemaju di mana ia berpindah milik.

Tambah beliau, perkara ini terang berlaku termasuk ke atas tanah-tanah atau perkampungan warisan Melayu misalnya di Pulau Pinang, sedangkan DAP sebagai kerajaan di negeri itu pernah berjanji memelihara dan memulihara warisan tersebut.

“Malangnya, janji dalam Manifesto Pilihan Raya 2013 itu dikhianati dan kini dengan keberadaan DAP dalam Kerajaan Persekutuan cuba melakukan perkara sama. Persoalannya, mengapa tidak dinyatakan usaha KPKT untuk mendapat pengiktirafan serupa untuk kampung-kampung warisan Melayu yang terancam tersebut?

“Misalnya Kampung Batu Uban yang merupakan penempatan terawal di Pulau Pinang iaitu bermula sekitar tahun 1734 yakni lebih dahulu dari kedatangan Francis Light. Adakah kerana wujud subahat politik atau muslihat terselindung mengusir Melayu atas nama pembangunan?

“Kami bersetuju dan senada dengan pendapat pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang menyifatkan usaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO itu adalah untuk memperibumikan bukan-Melayu di Malaysia.

“Kerana ia akan melibatkan tanah di mana penghuninya diiktiraf sebagai orang asal atau watan di situ yang sekali gus akan mengubah juga sejarah sebenar. Tentu keadaan ini akan menimbulkan banyak konflik di masa depan,” ujar beliau.

Amzad berkata, kependudukan atau pemilikan tanah dan hasil mahsul serta aset yang ada dalam negara ini pasti berdepan banyak pertikaian, hatta lebih menakutkan, Perlembagaan sedia ada juga berisiko dirombak atau dirungkai.

Hakikatnya, menurut beliau, di bawah Kerajaan Madani yang juga dicanang sebagai Kerajaan Perpaduan, kampung-kampung baru tersebut telah diberikan peruntukan ratusan juta Ringgit setahun menerusi pelbagai saluran.

Apatah lagi beliau mempertikaikan bahawa sekiranya diberi pengiktirafan sebagai Tapak Warisan UNESCO, akan lebih banyak peruntukan diberikan, sedangkan ada keperluan lebih patut didahulukan dan diutamakan secara seimbang lagi adil.

“Daripada 613 Kampung Baru Cina di seluruh negara, mereka mencalonkan tujuh, namun mengharap satu diterima selewatnya tahun 2026. DAP sebenarnya sedang ‘menguji’ rakyat dan pemimpin Melayu-Bumiputera yang mungkin alpa,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

- Advertisement -