KANGAR: Pasca kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis mentadbir negeri pastinya berdepan dengan pelbagai cabaran selain harapan yang tinggi daripada rakyat.
Menurut pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Solahuddin Abdul Hamid, secara umumnya, pemerintahan kerajaan negeri sekarang mendapat sokongan padu daripada rakyat Perlis.
“Kemenangan kali ini adalah suatu kejutan, justeru persediaannya tidaklah berlaku secara holistik. Namun, pada pandangan saya, dalam tempoh setahun ini, kejayaan melaksanakan slogan Bersih, Cekap, dan Stabil dalam pentadbiran adalah satu permulaan yang cukup baik,” kata beliau kepada Harakahdaily.
Oleh itu tambah beliau, oleh kerana parti dominan yang memerintah Perlis adalah sebuah parti Islam, penerapan nilai-nilai Islam perlu dipertingkatkan lagi daripada kerajaan sebelumnya.
Solahuddin mengakui perubahan drastik tidak dapat berlaku hanya dalam tempoh setahun, terutamanya majoriti rakyat Perlis adalah dari golongan B40.
“Kita tidak boleh terlalu mengharapkan tindakan atau perubahan yang drastik kerana Perlis adalah sebuah negeri yang berorientasikan pertanian, dengan majoriti masyarakat daripada golongan B40.
“Malah Perlis juga berada dalam kelompok tiga negeri termiskin di Semenanjung Malaysia selain Kelantan dan Kedah,” ujarnya lagi.
Selain itu, kata beliau kepimpinan yang masih baharu dan pegangan politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan pusat juga dilihat kurang membantu, terutamanya dari segi pengaliran peruntukan dana.
Walau bagaimanapun, Solahuddin memuji peningkatan jumlah pelancong yang berkunjung ke negeri Perlis.
“Peningkatan jumlah pelancong sebanyak dua kali ganda berbanding sebelum ini (4.3 juta orang) adalah sangat menggalakkan.
“Pelancongan eko, pelancongan makanan dan pelancongan pertanian sedia ada perlu ditingkatkan lagi variasinya dan promosi sempena tahun melawat Perlis ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/2/2024
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!