Perantau menyumbang untuk mantapkan pentadbiran negeri

Rozi Muhamad
- Advertisement -

KOTA BHARU: Perantau terutama yang bernaung di bawah Perakan Malaysia telah memberi sumbangan besar kepada kerajaan negeri  untuk  memantapkan pentadbiran  melalui dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

- Advertisement -

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong, Rozi Muhamad berkata, anak Kelantan di perantauan sentiasa memainkan peranan besar sebagai ejen penyebar maklumat yang tepat kepada dunia luar mengenai dasar tersebut  dan skim yang dilaksanakan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan Perakan Malaysia Cawangan Sungai Petani, Kedah.

Ketika dihubungi hari ini beliau menambah kata, peranan anak Kelantan di perantauan  banyak memberi kebaikan terutama menaikkan nama dan imej negeri.

Ini, ujarnya termasuk menaikkan dan merancakkan ekonomi negeri dengan menambah kuasa beli rakyat apabila berbelanja setelah  pulang ke kampung atau sebagai peniaga.

Tambahnya, Perakan adalah mata telinga kepada kerajaan negeri yang tentunya tidak akan dilupakan pemimpin.

“Semoga anak-anak Kelantan yang berada di luar akan sentiasa mendapat perhatian dari kerajaan negeri dan pemimpin-pemimpinnya,” katanya lagi.

Katanya,  kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian serius kepada rakyat Kelantan yang berada di luar, terutama dari sudut  kebajikan.

Sehubungan itu,  beliau menyeru Perakan Sungai Petani memperbanyakkan aktiviti khususnya program kebajikan untuk anak-anak perantau di samping mengukuhkan organisasi. – HARAKAHDAILY 6/2/2024