Lawat Kelantan: PBT perlu sedia 3 tempat menarik

- Advertisement -

KUALA KRAI: Sempena Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini perlu menyediakan sekurang-kurangnya tiga tempat menarik untuk dikunjungi pelancong.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam sekitar negeri, Helmi Abdullah berkata, untuk tujuan itu kerajaan negeri  akan membangunkan lebih banyak tempat menarik bagi menarik lebih ramai pelancong  ke negeri ini di seluruh jajahan.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, sebagai contoh di Kuala Krai  terdapat banyak tempat yang menarik untuk dikunjungi.

“Antaranya Muzium Kuala Krai, Mini Zoo Kuala Krai, Tangga Krai dan yang terbaharu Taman Tema Air Krai,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil seterusnya menyeru rakyat Kelantan  sendiri  sama-sama mempromosikan TMK2024.

Katanya, antara cara yang mudah mengongsikan informasi destinasi di Kelantan di media sosial masing-masing.

“Kalau setiap kita ada seribu pengikut dan mereka baca status di media sosial  seperti Facebook tentang tempat menarik di Kelantan dan ianya menjadi tular,  ramai pengunjung akan datang ke Kelantan.

“Tidak mustahil mereka akan mengajak kawan-kawan juga datang ke Kelantan kita,” ujarnya.

Mengulas lanjut, berkaitan projek baik pulih Jambatan Sultan Ismail Petra pula, beliau berharap jambatan yang menjadi mercu tanda pintu masuk ke bandar Kuala Krai dari Kota Bharu itu akan siap dibaik pulih pada tahun ini.

Sebanyak RM200,000 telah diluluskan oleh Jabatan Warisan Negara untuk menceria dan mencantikkan jambatan gantung itu bagi kerja-kerja mengecat dan membina landskap. – HARAKAHDAILY 6/2/2024