Kelantan rangka perancangan hadapi perubahan iklim dunia

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan merangka perancangan menghadapi perubahan iklim dunia yang menjadi cabaran bagi memastikan kelangsungan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

- Advertisement -

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Ustaz Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail berkata situasi membabitkan kemarau dan banjir tahun lalu menjejaskan pengeluaran.

Beliau berkata antaranya pengeluaran padi pada 2023 merosot 30 peratus dengan kerugian RM2.7 juta yang membabitkan kawasan seluas 7,800 hektar dan 1,123 petani akibat kemarau.

“Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukkan RM17.23 juta di bawah jawatankuasa ini bagi melaksanakan pelbagai program dan projek bagi petani, penternak dan nelayan.

“Ini termasuklah bantuan menghadapi sebarang musibah akibat perubahan cuaca dan ini juga sebagai dorongan dan pemangkin semangat untuk mereka terus menjalankan usaha,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taujihat Tahun Baru 2024 kepada lebih 40 agensi kerajaan negeri dan pusat terlibat dalam pertanian dan keterjaminan makanan di sini.

Hadir sama Timbalannya, Dato’ Shaari Mat Hussain; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Tuan Zainal Abidin Tuan Yusuf dan ketua jabatan, agensi kerajaan.

Katanya, pihaknya turut memohon peruntukan lebih RM500 juta dari persekutuan bagi pembangunan sektor pertanian yang melipuyi 61 projek memberi manfaat kepada 30,000 petani di Kelantan.

Selain itu Tuan Saripudin berkata penggubalan Enakmen Pemajuan Pertanian Kelantan 2022 yang diwartakan bagi mempertingkatkan pengeluaran hasil pertanian.

Peraturan itu juga katanya berperanan sebagai salah satu instrumen kawalan dalam usaha kerajaan negeri menjaga kelestarian alam sekitar daripada aktiviti pertanian dalam skala komersil.

“Selain enakmen ini, kewujudan Jawatankuasa Pertanian Peringkat Jajahan merupakan langkah tepat bagi berfungsi sebagai satu saluran untuk mempertingkat sektor pertanian.

“Sebarang isu dan idea pertanian, agromakanan dan keterjaminan makanan kepada Jawatankuasa Portfolio ini dan Jawatankuasa Induk Sekuriti Makanan Negeri,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -