Energy Stick: Penjualan kepada pelajar sekolah membimbangkan

Dato' Dr Ahmad Yunus Hairi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lajnah Kesihatan PAS Pusat merasa bimbang dan kesal terhadap penjualan produk seakan-akan vape yang dikenali sebagai Energy Stick dalam kalangan pelajar sekolah.

- Advertisement -

Pengerusinya, Dato’ Dr Ahmad Yunus Khairi dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk itu didakwa mampu memberi kesan tenaga dan stimulasi dengan hanya menyedutnya melalui hidung.

“Produk ini sebagai satu bentuk pendedahan awal kepada vape dan rokok elektronik yang membahayakan kesihatan dan membazirkan wang,” ujarnya.

Katanya lagi, produk itu juga boleh menimbulkan ketagihan dan membuka ruang kepada penyalahgunaan dadah.

“Produk ini telah dijual dengan harga yang murah dan mempunyai pelbagai perisa yang menarik minat kanak-kanak dan remaja.

“Kami percaya ini adalah punca kepada tindakan kerajaan yang sewenang-wenangnya mengeluarkan cecair nikotin dari senarai racun di bawah Akta Racun 1952,” jelasnya. 

Oleh itu, beliau menuntut agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengambil tindakan tegas terhadap pengeluar, pengedar dan pempromosi produk itu.

“Kami menggesa agar pihak kerajaan menyegerakan tindakan dari peraturan-peraturan yang termaktub di dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Tembakau 2024 yang lalu.

“Kami berharap agar isu ini dapat diselesaikan dengan segera demi melindungi generasi muda kita daripada ancaman vape dan rokok elektronik,” ujarnya lagi.

Di samping itu, beliau juga menyeru agar pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat dapat menyedarkan dan menghalang para pelajar di luar daripada menggunakan produk itu. -HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -