33 tahun Kelantan terus amal toleransi antara kaum

- Advertisement -

KOTA BHARU: Setelah 33 tahun pemerintahan PAS di Kelantan, kerajaan negeri dengan dasar Membangun Bersama Islam terus mengamalkan toleransi antara kaum yang tinggi.

- Advertisement -

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Ustaz Mohd Asri Mat Daud berkata ia perlu menjadi contoh perpaduan kaum yang pelbagai.

Beliau berkata melalui dasar tersebut pelaksanaan program kebajikan yang ditawarkan oleh kerajaan negeri diberikan sama rata tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Sudah ada tiga Menteri Besar tetapi pembawakan dia sama sahaja iaitu dasar ini dan rakyat pelbagai kaum dapat hidup dengan harmoni saling memahami antara satu sama lain.

“Ini menjadi contoh atau model kepada kerajaan negeri lain dan Putrajaya sendiri bagaimana kita menguruskan keharmonian antara kaum tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat Peringkat Parlimen Kubang Kerian di Dewan Dato’ Muhammad Daud Al-Iraqi di sini malam tadi.

Turut hadir, Ahli Majlis MPKB-BRI, Muzani Muhammad; Penghulu Perpaduan Kaum, Tiew Ley See serta Timbalan Pengerusi Kelantan Hindu Maha Saba (KHMS), B. Jeyabalan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Demit itu berkata rakyat boleh membuat penilaian sejauh mana hubungan kaum di Kelantan sejak tahun 1990 PAS mengambil alih pemerintahan.

Walaupun keharmonian kaum sudah berlaku sejak sekian lama namun kata beliau, kehadiran PAS pentadbiran kerajaan terus  memperkukuhkan lagi hubungan antara agama dan kaum.

Menurutnya, Islam sendiri tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk mengikut nilai yang ada dalam agama, malah menjamin keharmonian dalam kehidupan dan amalan keagamaan.

“Ini uniknya dasar kita, kita memberikan pakej keharmonian yang telus, tercatat dalam sejarah bila sebut keadilan keharmonian kita buat betul tidak buat atas nama jenama politik, tiada.

“Tetapi buat kerana tuntutan agama Islam yang meminta kita harmoni hidup dan tidak menzalimi sesiapa pun dalam kehidupan yang ada pelbagai kaum dan hidup seperti sebuah keluarga,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/2/2024

- Advertisement -