ALOR SETAR: Tiga kawasan di Kedah dijangkakan akan mengalami cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga antara maksimum 35 hingga 37 darjah Celsius, Februari ini.
Laporan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) berkata, kawasan terbabit ialah Pokok Sena, Pendang dan Baling.
“Amaran cuaca tahap satu ini dijangka berlaku sekurang-kurang tiga hari berturut-turut,” ujar laporan berkenaan.
Justeru, METMalaysia sudah mengeluarkan amaran situasi cuaca berkenaan khususnya kepada tiga kawasan terbabit untuk langkah berjaga-jaga.
Dalam pada itu Pakar Meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah berkata, cuaca panas itu adalah biasa di kawasan utara dan selatan Thailand yang selalunya bermula Februari sehingga Mac.
Sehubungan itu, orang ramai boleh melayari www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mengetahui perkembangan cuaca panas di kawasan masing-masing. – HARAKAHDAILY 5/2/2024