Susulan ramai terjatuh: Solat hajat di Jambatan Tendong

Solat hajat diadakan di Jambatan Tendong, Pasir Mas, Kelantan pada hari ini, 5 Feb 2024.
- Advertisement -

PASIR MAS: Berikutan kejadian individu yang sering terjatuh di jambatan sungai, kerajaan Kelantan mengambil pendekatan menunaikan solat hajat dalam usaha bagi mengelak berlaku kejadian serupa selepas ini.

Media tempatan sebelum ini melaporkan sebanyak 17 kes individu yang terjatuh dari jambatan direkodkan di Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021, dengan 16 kes daripadanya ditemui lemas.

- Advertisement -

Justeru, pada hari ini satu majlis solat hajat telah diadakan di atas jambatan tendong yang dihadiri lebih 500 orang termasuk Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassruddin Daud.

Solat hajat itu diimamkan Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan dan Penasihat Kesatuan Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan,  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Daud, exco-exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan peminpin masyarakat.

Nassuruddin berkata, solat hajat itu merupakan usaha  memohon kepada Allah supaya kejadian sama tidak berulang.

“Banyak kes berlaku di jambatan ini dan kita mengambil pendekatan melaksanakan solat hajat di sini,” katanya pada majlis solat hajat di Jambatan Tendong, di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya masih berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk pemasangan penghadang bagi mengelak kejadian individu terjatuh jambatan.

Media sebelum ini melaporkan lokasi paling banyak melibatkan kes itu  di Jambatan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu iaitu sembilan kes diikuti empat kes di Jambatan Tendong.

Selain itu  turut berlaku di Jambatan Salor dan Pak Nik Lah di Kota Bharu, Wakaf King (Tumpat) serta Tok Bali (Pasir Puteh).

Ketika berucap pada majlis itu, Nassruddin menyeru umat Islam sentiasa mengingati Allah dalam apa juga masalah yang dihadapi.

Katanya, setiap manusia pasti mempunyai masalah, dan setiap masalah pastinya ada jalan penyelesaian.

Katanya, lumrah kehidupan manusia sentiasa diuji  di muka bumi ini dengan kesenangan dan kesusahan.

“Dunia adalah tempat ujian. Kehidupan sebenar adalah di akhirat.

“Allah SWT sentiasa menguji kita sama ada dalam keadaan susah mahupun senang, namun taqwa pada Allah SWT perlu disemai bagi mengelak kejadian yang tidak diingini,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, setiap hamba-Nya perlu berikhtiar dan berdoa dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.

“Sekiranya mempunyai masalah, individu tersebut tidak perlu memendam perasaannya, namun harus berbincang bersama orang yang terdekat bagi memudahkan urusan semua pihak termasuk dirinya sendiri,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -