Peningkatan hasil perikanan di Terengganu

Penguatkuasa Maritim Malaysia menyabung nyawa demi menjaga kedaulatan perairan negara.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Peningkatan hasil perikanan Terengganu bukan sahaja kejayaan program labuh tukun dan unjam, tetapi juga bakti nelayan, penguatkuasa serta banyak pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, di tengah lautan terdapat penguatkuasa yang menyabung nyawa demi menjaga kedaulatan perairan negara.

- Advertisement -

ZEE Perairan Terengganu menurutnya sangat luas, kira-kira 87,000 kilometer persegi dan bukan mudah untuk mengawalnya terutama ia memerlukan aset dan keanggotaan yang mencukupi.

“Bermula tahun 2019, Maritim Malaysia mengetuai Ops Naga Barat yang turut disertai Jabatan Perikanan, TLDM, Polis Marin, TUDM, Jabatan Laut, Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, LKIM dan SPRM,” ungkap  Dr Azman melalui media sosial miliknya hari ini.

Menurutnya, hasil sehingga tahun 2023, Ops Naga Barat telah berjaya menahan 367 buah bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu dan ada yang dilucut hak, denda dan kompaun selepas proses undang-undang dilaksanakan.

Maritim Malaysia menurutnya lagi, telah melaksanakan Ops Kuda Laut bermula tahun 2020 dan sehingga  tahun 2023, APMM telah berjaya menahan 194 buah vessel yang menceroboh perairan Terengganu.

“Atas semua pengorbanan ini, saya ucapkan terima kasih. Ramai orang melihat, peningkatan hasil perikanan Terengganu adalah isyarat dari kejayaan program labuh tukun dan unjam.

“Ia adalah salah satu faktor tapi bukan satu-satunya penyebab. Kalau kita serius dengan program memperkayakan sumber perikanan tapi perairan kita sentiasa diceroboh, hasilnya tentu tidak seberapa,” ujar beliau.

“Jangan dilupa jasa bakti nelayan kerana mereka, kita tak akan dapat makan ikan selayang apatah lagi nak rasa kerisi dan tenggiri,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -