Penduduk DUN Pengkalan Kundur raih pemeriksaan kesihatan percuma

Pegawai perubatan PAPISMA sedang melayani pengunjung yang hadir mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan percuma anjuran PKWR di Dewan Al-Amin, Telok Bagan, Pengkalan Kundur, Kuala Kedah, Kedah.
- Advertisement -

KUALA KEDAH: Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur mengadakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma khususnya kepada warga berdekatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit, Mardhiyyah Johari berkata, perkhidmatan itu untuk memberi laluan kepada mereka yang memerlukan mendapat pemeriksaan percuma serta nasihat kesihatan dengan lebih mudah dan cepat.   

“Kalau pergi ke hospital kerajaan, sudah pasti kena tunggu lama dan kadang-kadang beberapa jam. Nak ke hospital atau klinik swasta, kos pula.  

- Advertisement -

“Tetapi hari ini, PKWR saya bawa doktor jumpa pesakit. Betapa bertuah penduduk DUN Pengkalan Kundur,” katanya ketika dihubungi HarakahDaily baru-baru ini.

Pegawai perubatan yang memberi perkhidmatan bertempat di Dewan Al-Amin, Telok Bagan itu didatangkan dari Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA). 

“Selain memberi khidmat pemeriksaan kesihatan percuma dan ceramah kesihatan, mereka juga memberi sumbangan Baby Box dan Food Basket kepada golongan asnaf dan ibu yang melahirkan anak,” jelas beliau lagi. 

Orang ramai yang hadir ujarnya bukan sahaja mendapat khidmat kesihatan sebaliknya dihiburkan juga dengan persembahan nasyid dari kumpulan Dzil Afnan. 

Menurut Mardhiyyah, pada sebelah petang aktiviti diteruskan dengan turun dari rumah ke rumah khususnya dalam kalangan mereka yang terlalu uzur dan tidak mampu hadir ke tempat program untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

Mardhiyyah (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan barangan bayi kepada salah seorang penerima.

“Sebelah petang, kita hadir ke 23 buah rumah di 13 buah kampung di DUN Pengkalan Kundur. Bersama itu juga selain pemeriksaan kesihatan percuma, kita juga membawa barangan keperluan dan Kit Rohani kepada pesakit yang diziarahi,” katanya lagi.

Antara barangan yang disumbangkan termasuklah wang tunai, bakul makanan, telekung, kain pelikat, al-Quran dan sejadah solat. 

Dalam pada itu Mardhiyyah mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai perubatan PAPISMA, penghulu, Majlis Ketua Kampung (MKK) serta petugas parti yang memberi kerjasama menjayakan program berkenaan.  HARAKAHDAILY  5/2/2024

- Advertisement -