Pencen: Laksanakan dahulu dalam kalangan ahli politik

Dewan Rakyat.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Isu skim pencen dalam kalangan penjawat awam masih hangat diperkatakan. Ia menjadi hangat selepas kerajaan mengumumkan bahawa Kabinet bersetuju menetapkan pekerja baharu yang dilantik perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

- Advertisement -

Pelbagai reaksi negatif antaranya negara akan kehilangan pekerja mahir dalam pelbagai bidang. Mereka akan lari ke luar negara atau sektor swasta yang menawarkan gaji lebih tinggi daripada kerajaan.

Mungkin selepas skim pencen dimansuhkan, sektor swasta akan menjadi rebutan memandangkan gaji yang ditawarkan lumayan berbanding kerajaan. Segala kemudahan yang ditawarkan oleh sektor swasta sama dengan penjawat awam.

Apabila hilang keistemewaan sebagai penjawat awam, iaitu tiada skim pencen maka rakyat bumiputera tidak berminat lagi untuk bekerja dengan kerajaan. Sudah pasti kerajaan akan kerugian kerana tidak mempunyai penjawat awam yang berkemahiran tinggi dalam suatu bidang.

Cadangan kerajaan ini seharusnya diperhalusi terlebih dahulu. Perlu ada satu kajian apa kebaikan dan keburukan jika skim pencen ini dimansuhkan.

Bagaimana dengan jawatan-jawatan penting dalam sektor kesihatan, keselamatan, pendidikan dan badan-badan beruniform.

Anggota tentera, polis, bomba, para doktor, jururawat, golongan pendidik adalah antara jawatan kritikal yang mesti ada dalam sebuah negara. Apakah kerajaan sudah bersedia menerima risiko yang akan berlaku?

Jika skim pencen berjaya dimansuhkan maka akan berlaku banyak kekosongan dalam sektor tersebut. Anak-anak muda khususnya lepasan universiti tidak lagi berminat untuk bekerja dengan kerajaan. Ketika itu sektor swasta akan menjadi rebutan kerana faktor gaji yang lebih lumayan.

Bagaimana pula dengan ahli politik yang menjadi wakil rakyat. Ada yang menjadi ahli parlimen atau adun memegang jawatan menteri besar atau menteri, timbalan menteri selain pengerusi anak syarikat kerajaan negeri (GLC) dan sebagainya. Apakah mereka juga terlibat dengan isu pemansuhan skim pencen? Atau mansuh skim pencen ini hanya dilaksanakan kepada penjawat awam lantikan baharu 2024?

Apakah kerajaan akan membiarkan atau bersikap ‘tutup mata’ kepada mana-mana wakil rakyat yang mendapat pelbagai gaji dan pencen?

Jika kerajaan serius untuk melaksanakan cadangan ini, menghapuskan pencen, adalah lebih baik perkara ini dilaksanakan terlebih dahulu kepada wakil rakyat dan menteri-menteri sebelum melaksanakan langkah tersebut kepada pejawat perkhidmatan awam.

Mantan ADUN Tanjong Sepat, Selangor, Ir. Mohd Haslin Hassan, berpandangan pencen untuk ahli parlimen, Adun dan penjawat lantikan politik amat wajar dikaji semula.

Jika ingin diteruskan, kata beliau sebaiknya hanya berdasarkan kelayakan jawatan akhir tertinggi sahaja serta dihadkan tempoh bayaran ikut had umur.

Beliau berkata, pencen untuk ahli politik seharusnya bermula pada usia 50 dan berakhir pada usia 70 tahun sahaja.

“Mereka perlu dibayar pencen dalam tempoh  20 tahun sahaja dan bukan sepanjang hayat,” katanya.

Seorang guru yang ditemui, Mohd Nazim berpandangan, cadangan mansuh skim pencen ini perlu dilaksanakan terlebih dahulu di kalangan menteri-menteri dan timbalan menteri.

Katanya, jika hendak laksanakan cadangan ini kepada penjawat awam lakukanlah secara beransur-ansur dan jangan drastik.

Beliau turut mengimbau peristiwa tahun lalu, iaitu para doktor berstatus kontrak pernah melaksanakan mogok kerana tidak diserapkan ke jawatan tetap.

“Kerjaya mereka penting dalam negara. Siapa yang akan menjaga kesihatan rakyat jika mereka melakukan mogok berpanjangan,” katanya.

Bagi Ketua Amalnita Pusat, Noor Hanim Ismail, berkata, mana-mana ahli politik yang berjawatan ahli parlimen, Adun dan ada jawatan dalam GLC hanya perlu ditetapkan satu pencen sahaja.

Katanya ini kerana wakil rakyat yang berjawatan menteri besar, menteri-menteri serta beberapa jawatan lain semuanya mendapat elaun yang berbeza.

“Wakil rakyat yang mempunyai banyak jawatan seperti ahli parlimen, menteri besar, menteri, pengerusi GLC dan sebagainya, semua jawatan tersebut mempunyai gaji dan elaun yang berbeza.

“Jika seorang ahli politik itu ada 10 jawatan, seharusnya pencen hanya ditetapkan untuk satu sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2024

- Advertisement -