Mereka guna kuasa politik untuk sekat Islam – Razman

Razman Zakaria
- Advertisement -

BAGAN SERAI: Islam apabila dipisahkan daripada pemerintahan akan menyebabkan politikus berkelakuan sewenang-wenangnya hingga menyebabkan rahmat, kesejahteraan dan keadilan tidak dapat disampaikan kepada semua.

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria memetik kata-kata politikus ‘kerajaan ini kerajaan kami, ikut suka kamilah’ yang menunjukkan kuasa politik boleh digunakan untuk bertindak melakukan sesuatu termasuk ke atas Islam.

- Advertisement -

“Dengan kuasa politik mereka boleh berbuat apa sahaja. Walaupun dengan perbuatan itu akan menjatuhkan Islam. Mereka boleh membunuh Islam melalui penguatkuasaan peraturan yang akan menyempitkan pemahaman Islam,” katanya.

ADUN Gunung Semanggol itu memberikan contoh kuasa politik yang digunakan negara India dalam menzalimi Islam hinggakan Muslim di negara itu tidak dibenarkan membawa balik air zam-zam daripada Makkah.

Ini kerana menurut beliau, pemerintahan kerajaan di negara itu telah dikuasai oleh kalangan yang memusuhi Islam, sedangkan sewaktu Islam memerintah dalam wilayah-wilayah India dahulu tiada orang bukan-Islam dihalang mengamalkan agama mereka.

Turkiye juga menurutnya, apabila kuasa politik Islam diambil oleh golongan sekular menyebabkan kerosakan teruk kepada perkembangan Islam, sedangkan orang Islam sangat ramai dan merupakan penduduk majoriti dalam negara itu. 

“Kamal Ataturk hanya disokong beberapa peratus yang berfahaman sepertinya, namun dokongan musuh Islam menyebabkan beliau berjaya mengambil alih kuasa politik Turki pada ketika itu lantas menjadikan Islam terkongkong sehingga ke hari ini,” jelasnya.

Di Malaysia katanya, agamawan yang sebelum itu merupakan para pengajar ilmu-ilmu Islam kepada masyarakat, tetapi setelah bertanding dalam pilihan raya tidak lagi dibenarkan menyampaikan kefahaman atau pengajaran.

Tambah beliau, pemimpin PAS ramai yang memiliki kelulusan bidang agama dengan memiliki ilmu dan kefahaman untuk meninggikan perkembangan Islam dalam masyarakat umat Islam sendiri, tetapi kini terhalang.

“Masyarakat hanya dibenarkan dihidang pengetahuan agama berkisar sekitar permasalahan cara sembahyang, cara wuduk, cara zakat dan yang tidak berkaitan dengan pemerintahan negara. 

“Ini menyebabkan masyarakat tidak tahu bahawa pemerintahan Islam mesti ditegakkan agar keadilan sebenar tercapai. Bila jadi ahli politik maka tidak boleh mengajar agama. Ia adalah tindakan salah. 

“Namun,  yang salah itulah sedang dipraktikkan oleh politikus yang sedang menguasai negara pada masa ini. Sebab itu rakyat kena faham kuasa politik. Kuasa politik boleh menjatuh dan menaikkan Islam.

Justeru beliau menyatakan bahawa rakyat terutamanya orang Islam perlu menolak orang politik yang tidak mahu memartabatkan Islam sedangkan umat Islam mempunyai peranan menyambung tugas Nabi iaitu engajak kembali kepada Al-Quran. 

Menurut beliau, sasaran dakwah ada duamiaitu kepada orang bukan-Islam dan kepada orang Islam sendiri yang tidak mempunyai kefahaman sebenar hingga mereka telah memisahkan politik daripada Islam.

Razman yang mesra dipanggil ‘Pak Teh’  itu turut menjentik isu terkini apabila kuasa politik cuba digunakan untuk menyekat nilai-nilai Islam apabila ada suara mahu tindakan diambil ke atas pra-sekolah milik PAS iaitu PASTI.

“Sekiranya perkara ini mengganggu perkembangan Islam di peringkat kanak-kanak, umat Islam diseru bangkit berjihad mempertahankan agar penentang Islam berhenti menjatuhkan Islam,” katanya.  HARAKAHDAILY  5/2/2024