MACHANG: Kementerian Perpaduan Negara bercadang membina kompleks perpaduan di setiap negeri di seluruh negara.
Menterinya, Dato’ Aaron Ago Dagang berkata, setakat ini bangunan Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di Kelantan menjadi kawasan pertama mempunyai di negara ini.
Menurutnya, pembinaan yang telah dibina bermula tahun 2016 dan telah siap sepenuhnya pada Mac 2019 itu telah menelan belanja berjumlah RM9.8 juta.
“Kita menyasarkan setiap negeri akan mempunyai kompleks perpaduan sendiri untuk kemudahan bagi melaksanakan aktiviti yang dapat merapatkan perpaduan.
“Kompleks Perpaduan kedua pula akan kita bina di Perlis dan dijangka siap pada pertengahan tahun 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media yang diadakan selepas Majlis Perasmian Kompleks Perpaduan Jajahan Machang di sini, pada Ahad.
Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, pihaknya menyasarkan sekurang- kurangnya 116 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Progresif diwujudkan di seluruh negara bermula April ini.
Katanya,sasaran berkenaan membabitkan setiap daerah di seluruh negara bertepatan dengan aspirasi Rukun Negara untuk membina masyarakat progresif sekali gus mampu menjadi contoh kepada KRT lain.
“Setakat ini, kita sudah mempunyai 8,438 KRT di seluruh negara dan penubuhan KRT sebelum ini hanya memberi tumpuan yang membabitkan keselamatan peringkat komuniti.
“Jadi, KRT progresif ini akan lebih tertumpu kepada sektor ekonomi termasuklah dalam bidang perusahaan makanan, industri pelancongan, agro pertanian dan sebagainya,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/2/2024