‘Jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah’

Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Jangan pernah berputus asa dengan rahmat Allah. Ayat yang menjadi penguat untuk saya mengharungi fasa-fasa ketika disahkan menghidap kanser nasofarinks (NPC),” kata Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

- Advertisement -

Beliau dalam satu video hantaran di Facebook hari ini berkongsi pengalaman dan motivasi untuk pejuang-pejuang kanser sempena menyambut Hari Kanser Sedunia 2024.

“Setiap orang mesti ada ‘lowest point’ dia. Tapi untuk saya, saya boleh rangkumkan bahawa cabaran yang besar yang terpaksa saya hadapi dan terima pada waktu itu, alhamdulillah dengan hati yang tenang dan terbuka ialah ketika saya mendapat berita bahawa saya menghidap kanser.

“Kalau orang tanya kanser apa, nasopharyngeal carcinoma (NPC) stage 3 nak masuk stage 4 tetapi saya masih lagi boleh tersenyum pada waktu itu, saya anggap itu adalah ujian, yang perlu saya hadap dalam kehidupan dan saya lalui semua proses itu.

“7 kali kemoterapi 35 kali radioterapi, dan saya rasa proses itu sebenarnya bila kita hadapi dengan tenang dan disiplin, yang paling penting ialah kita tidak berputus asa dengan rahmat Allah,” katanya.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, sepanjang rawatan itu beliau pernah melalui fasa tidak boleh makan makanan selama hampir setahun.

“Saya hanya hidup dengan susu sahaja. Pada saya, saya fikir pada waktu itu kita sudah hidup puluhan tahun boleh makan macam-macam tapi ada ketikanya kita diuji begitu. Kita reda dengan ujian itu dan kita cuba hadap dengan hati yang tenang dan terbuka.

“Ada ketika lebih kurang 8 bulan saya rasa saya tidak ada deria rasa masin, tawar, manis sehinggakan madu yang begitu manis itu pun tak rasa manis. Dalam istilah orang yang kena NPC ini dipanggil ‘metallic taste’ seolah rasa macam kita ambil sudu kita hisap sudu tu dalam keadaan tak rasa apa-apa pun.

“Saya selalu sebut pada diri saya sepanjang perjalanan hidup ni, kita telah menikmati macam-macam makanan baru sedikit tempoh sahaja kita diuji tak dapat menikmati sebagaimana biasa saya rasa itu satu ujian yang kita kena hadap.

“Alhamdulillah, berkat dengan usaha dan doa daripada semua pihak termasuklah diri kita sendiri buat rawatan dan sebagainya saya dapat hadapi semua itu dengan jayanya Alhamdulillah sampai sekarang ni,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -