Berhati-hati tentukan hala tuju pendidikan anak

- Advertisement -

PASIR MAS: Sistem kerjaya terbuka yang melanda Malaysia mengakibatkan pendidikan dan pemilihan pekerjaan berubah.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dalam situasi sebegini ibu bapa harus berhati-hati menentukan hala tuju pendidikan anak-anak.

Katanya, anak-anak kini perlu memiliki kelebihan yang orang lain tidak ada.

“Dulu berkerja sebagai penjawat awam menjadi kebanggaan, sekarang tidak lagi, lebih-lebih lagi apabila kerajaan persekutuan sudah tidak mampu menanggung pencen.

“Paling penting, ibu bapa mesti memastikan anak-anak ada ilmu diniah yang mantap kerana pegangan agama yang kukuh, khasnya ilmu al-Quran memberi nilai tambah kepada kehidupan kita di dunia dan di akhirat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ihtifal 2023/2024 Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekokah Rendah Islam Seri Al-Furqan (SERIF), di Dewan Utama Kompleks Apam Putra Lubok Jong, semalam.

Sementara itu, beliau turut memuji keberanian pentadbir SERIF atas keberanian dan sedia berkorban untuk berjuang dalam industri pendidikan Islam dan tahfiz al-Quran.

“Sektor ini bukan begitu menguntungkan. Oleh itu, jika yurannya sedikit tinggi, diharap ibu bapa bersabar dan reda kerana inilah saham yang kita laburkan untuk melahirkan anak-anak yang menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran bidang akademik, ko kurikulum dan ilmu diniah.

“Ia juga sebagai pelengkap gaya hidup yang seimbang pada zaman serba mencabar ini,” katanya.

Dalam majlis yang sama, seramai 176 pelajar menerima anugerah dan sijil kecemerlangan pelajaran bagi sesi persekolahan tahun 2023/2024. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -