ALOR SETAR: Setiausaha adalah pengurus organisasi dan bukan sekadar pencatat minit mesyuarat sepertimana difahami selama ini.
Lebih lagi, setiausaha juga penggerak kepada setiap perkara yang diluluskan di dalam mesyuarat dilaksanakan oleh lajnah yang terbabit.
Demikian kata setiausaha Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Nurul Hani Ali, ketika ditemui HarakahDaily pada Konvensyen Setiausaha Dewan Muslimat Seluruh Malaysia, di Kompleks PAS Kedah, hari ini.
“Mentaliti setiausaha adalah hanya sebagai tukang catat minit mesyuarat perlu dibuang, sebaliknya tanggungjawab setiausaha itu sangat luas dan penting,” jelasnya.
Setiausaha juga katanya, berperanan sebagai ‘middle person’ (orang tengah) atau perantaraan apabila berlaku kunjung hormat pihak lain dan sebagainya.
Sungguhpun begitu ujar Dr Hani, yang lebih penting, setiap yang bergelar setiausaha mesti hadam dan faham perlembagaan parti (PAS) yang sering juga disebut ibarat kitab kepada mereka yang terbabit.
“Sebab itu pada konvensyen ini, sekretariat DMPM mengambil pendekatan memberi penekanan kefahaman kepada perlembagaan PAS. Kalau setiausaha tak faham perlembagaan, ahli jawatankuasa yang lain tentu lagilah,” tambahnya.\
Walaupun konvensyen kali ini, ujarnya merupakan julung-julung kali diadakan sejak beliau memegang jawatan setiausaha DMPM, namun pihak sekretariat telah menyusun KPI tertentu agar konvensyen yang akan datang, peserta tidak didedahkan dengan perkara yang sama.
“Bagi yang dah mahir, konvensyen ini ibarat ‘review’ di samping mempelajari ilmu-ilmu baharu membantu meningkatkan kualiti tugasan.
“Kepada yang baharu, pendedahan ini sebagai perkara perlu mereka ikut dan lakukan di kawasan masing-masing,” kongsi beliau.
Selain itu pihak sekretariat DMPM juga dalam usaha menyiapkan manual pengurusan yang akan siap pada Julai ini.
Katanya lagi, manual pengurusan berkenaan akan membantu para setiausaha menjalankan tugas lebih tepat lagi.
Konvensyen yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyudin Hassan itu dihadiri 159 setiausaha Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) dari 12 buah negeri, sementara lapan peserta dari Sabah dan Sarawak mengikutinya secara di atas talian.
Dalam pada itu, Dr Hani komited melengkap jumlah setiausaha DMPK yang kini kurang 16 kawasan (183)berbanding PAS Kawasan (199).
“Untuk jangka pendek, DMPM akan berusaha menyamakan jumlah DMPK dengan PAS Kawasan.
“Sementara untuk jangka panjang berhasrat mewujudkan 222 DMPK mengikut jumlah parlimen di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/2/2024