PASTI Melaka ambil inisiatif konvokesyen berpusat

Program Konvokesyen dan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Melaka yang berlangsung di Dewan Ar-Rahmah, Solok Gaung, Melaka pada hari ini, 3 Feb 2024. (FOTO: HARAKAHDAILY/Abu Anas)
- Advertisement -

MELAKA: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Negeri Melaka mengambil inisiatif mengadakan majlis konvokesyen berpusat bagi murid-murid kelas enam tahun yang akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini.

Pengarahnya, Ustaz Mohd Norfaizal Nordin berkata, program ini dilaksanakan bagi memberikan satu suasana yang lebih mengujakan kepada murid-murid tersebut.

- Advertisement -

“Bila murid-murid ini dapat berjumpa dengan rakan-rakan dari seluruh Negeri, mereka pun rasa seronok dan baru mereka tahu ramai lagi yang belajar di PASTI sama dengan mereka.

“Saya lihat sokongan ibu bapa sangat baik dengan mereka datang membawa ahli keluarga yang lain,” ujarnya kepada HarakahDaily usai program tersebut yang berlangsung di Dewan Ar-Rahmah, Solok Gaung, di sini, hari ini. 

Dalam program tersebut seramai 1,375 pelajar dari 79 PASTI seluruh Melaka terlibat dengan program berlangsung dalam empat sidang bermula 9 pagi sehingga malam.

Program diadakan dalam empat sidang dan setiap satu sidang dirasmikan oleh seorang perasmi iaitu Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail, Penasihat PASTI Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek; Timbalan Pengarah 1 PASTI Malaysia, Abdul Azim Abu Ziden; dan Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Zulhilmi Suboh.

Mohd Norfaizal berkata, program itu juga dapat memupuk kerjasama dan semangat berpasukan dalam kalangan guru-guru PASTI dari seluruh negeri Melaka dalam melaksanakan program ini.

“Sebelum ini majlis seperti ini dilaksanakan di peringkat cawangan PASTI, namun bermula tahun lepas majlis seperti ini perlu dilaksanakan di peringkat kawasan,” ujarnya.

Namun, jelas beliau, ramai pengurus-pengurus kawasan yang mengadu menghadapi banyak kekangan terutama dari segi kewangan untuk melaksanakannya.

“Jadi, tahun ini kami ambil keputusan bahawa PASTI negeri akan melaksanakan program ini berpusat di peringkat negeri,” kongsinya.

Mengakui ada serba sedikit kelemahan yang berlaku pada program ini memandangkan ia julung-julung kali diadakan, namun beliau menyatakan komitmen untuk mengatasi segala kelemahan ini pada masa akan datang.

“Mungkin pada masa akan datang kita akan mencari tempat yang lebih selesa dan lebih besar dan cuba memastikan keselesaan ibu bapa dan pelajar yang bergraduasi,” katanya.  HARAKAHDAILY  3/2/2024

- Advertisement -