Permohonan Bazar Ramadan Persiaran Wawasan dibuka 7 Feb

Foto hiasan.
- Advertisement -

KANGAR: Borang permohonan permit penjaja sementara Bazar Ramadan Persiaran Wawasan akan dibuka bermula 7 Februari ini.

- Advertisement -

Justeru, orang ramai yang berminat boleh mendapatkannya di Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bermula tarikh tersebut.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Asrul Aimran Abd Jalil, kadar sewa lot biasa bagi jualan makanan dan minuman sebanyak RM230 sebulan sementara lot untuk jualan air tebu, kelapa dan buah-buahan pula RM260 sebulan.

“Orang ramai yang berminat boleh dapatkan borang permit perniagaan ini bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadan selain menambah pendapatan di pihak masing-masing,” katanya, di sini.

Sementara Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menjelaskan kelewatan iklan permohonan borang permit Bazar Ramadan Persiaran Wawasan adalah disebabkan beberapa prosedur tertentu yang perlu dipatuhi.

Katanya lagi, kerajaan negeri sentiasa berusaha memberi kesejahteraan kepada semua rakyat namun dalam masa yang sama perlu menghormati tugas dan profesionalisma penjawat awam.

Terdahulu terdapat rungutan dari orang ramai berkenaan lot Bazar Ramadan Persiaran Wawasan yang tidak diiklan pada peringkat awal.

Sedangkan dalam masa yang sama borang permohonan untuk bazar Ramadan di Kompleks MPK di Jejawi, Ruang Niaga di Simpang Empat, Padang Besar dan Arau telahpun dikeluarkan kepada orang ramai lebih awal.

“Kerajaan negeri mencuba sedaya upaya dalam mensejahterakan rakyat dengan memudahkan urusan tetapi dalam masa yang sama tetap menghormati profesionalisme penjawat awam.

“Oleh itu kelewatan berkenaan demi menghormati tugas penjawat awam khususnya dan pada masa yang sama ia juga tidak membebankan rakyat secara amnya,” tegas Shukri. – HARAKAHDAILY 1/2/2024

- Advertisement -