‘Dia tak reti jadi pembangkang agaknya’ – Dr Marzuki

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Labuan, Dato’ Indera Dr Suhaili Abdul Rahman disifatkan sebagai ‘tidak reti’ menjadi pembangkang oleh bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Ke-8, Prof Dato’ Dr Marzuki Mohamad.

Dr Suhaili menurut Dr Marzuki, menyokong Perdana Menteri kerana mahu mendapatkan peruntukan bagi rakyat di kawasan Labuan dan menyalahkan kepimpinan BERSATU kerana tidak berunding dengan kerajaan untuk dapatkan peruntukan bagi Ahli-ahli Parlimen pembangkang.

Dr Marzuki menegaskan, sejak zaman-berzaman wakil rakyat pembangkang tidak dapat peruntukan kecuali di zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri di mana beliau buat keputusan untuk berikan RM300,000.

Jelasnya, semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang menerima peruntukan bagi tujuan perbelanjaan di waktu COVID-19 itu, sekali gus Ahli-Ahli Parlimen pembangkang juga dapat menggunakan peruntukan itu bagi diagihkan bantuan kepada rakyat di kawasan masing-masing.

Kata beliau, pada masa itu tidak adapun rundingan dibuat dengan pemimpin pembangkang di mana Tan Sri Muhyiddin merasakan beliau perlu memberikan pada masa itu, maka diberikannya.

- Advertisement -

Sedangkan katanya, peruntukan yang sama untuk semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang adalah merupakan janji terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH), malah dicadangkan satu akta digubal mengenainya. 

Oleh itu tegas beliau, sekiranya Perdana Menteri merasakan beliau perlu menunaikan janji tersebut – maka berikan, tetapi jika dirasakan janji itu tidak perlu ditunaikan maka tidak dapatlah rakyat di kawasan pembangkang merasa peruntukan kerajaan.

“Kalau semua Ahli Parlimen berfikir seperti Ahli Parlimen Labuan, satu hari nanti tidak ada lah pembangkang di dalam Dewan Rakyat. Kalau begitu, siapa nak mainkan peranan check and balance dalam sistem demokrasi berparlimen?

“Saya tak fikir semua Ahli Parlimen berfikir seperti dia. Dia dulu Umno, masuk BERSATU bila Umno kalah dan BERSATU jadi kerajaan. Bila BERSATU jadi pembangkang, dia ‘lompat’lah ke sebelah kerajaan.

“Dia ‘tak reti’ (tak tahu) jadi pembangkang agaknya,” tempelak Dr Marzuki terhadap tindakan dan alasan-alasan diberikan wakil rakyat tersebut. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -