Isra’ dan Mikraj: Keyakinan dan kepercayaan yang berbukti

- Advertisement -

ISRA’ dan Mi’raj merupakan peristiwa bersejarah yang tidak dapat dicabar sehingga hari ini. Sekalipun ada usaha manusia untuk meneroka ke luar angkasa, namun masih gagal untuk menerobos keluar dari garis masa dan dimensi. 

Pembesar Makkah cuba meragukan kebenaran

Rekod kehidupan Nabi S.A.W bermula dengan dikenali sebagai seorang yang tidak pernah berbohong. Perkara ini menjadi teras kepercayaan masyarakat Makkah terhadap Baginda S.A.W, kerana mereka hidup bersamanya, sejak kecil hinggalah dewasa.

Namun, setelah Baginda S.A.W mengisytiharkan kenabiannya, Baginda S.A.W mendapat tentangan yang hebat daripada pembesar Makkah ketika itu. Mereka tidak mempunyai asas untuk menentang Nabi S.A.W, kerana Baginda S.A.W sudah pun dikenali sebagai seorang yang dipercayai.

Walaupun tiada asas untuk menghasut masyarakat Makkah, namun, disebabkan kebencian, mereka konsisten mencari modal-modal yang boleh digunakan untuk meragukan masyarakat Makkah terhadap dakwah Baginda S.A.W.

Antaranya ialah dengan menghantar an-Nadr bin al-Haris dan Uqbah bin Abi Mu’it ke Yathrib untuk merujuk orang Yahudi di sana. Tujuan ke sana adalah untuk mencari modal untuk meragukan dakwah Nabi S.A.W.

Orang Yahudi di sana mencadangkan agar menanyakan Nabi S.A.W tiga soalan bagi mengesahkan kenabiannya. Maksudnya, kalau bukan seorang Nabi, tak mungkin seorang Arab boleh menjawab soalan tersebut.

3 soalan tersebut ialah berkenaan Ashabul Kahfi, Raja Zulqarnain dan persoalan mengenai ruh. Setelah kembali ke Makkah, mereka berdua melontarkan 3 soalan ini kepada Nabi S.A.W dengan harapan Baginda S.A.W tidak dapat menjawabnya. 

Bahkan, mereka menyangka apabila Baginda S.A.W tidak dapat menjawabnya, akan menyebabkan pengikut-pengikut Nabi S.A.W menjadi ragu dan akan meninggalkannya. Begitulah yang diharapkan oleh mereka berdua. 

Setelah bertanya, akhirnya Nabi S.A.W dapat menjawabnya setelah turunnya wahyu. Justeru, jawapan Baginda S.A.W ini mengukuhkan keyakinan bahawa Baginda S.A.W benar-benar seorang Nabi, kerana dapat menjawab soalan yang tidak diketahui oleh manusia biasa.

- Advertisement -

Mengukuhkan keyakinan 

Isra’ dan Mi’raj terjadi ketika mana Nabi S.A.W masih di Makkah, iaitu sebelum berhijrah ke Madinah. Jika kita meneliti isi dakwah Nabi S.A.W sebelum hijrah, banyak memberi fokus dan tumpuan terhadap pembinaan cara fikir dan pegangan. 

Justeru, Isra’ dan Mi’raj perlu difahami secara pembentukan cara fikir dan pegangan. Perkara ini disebutkan oleh Sheikh Amin Al-Syanqiti di dalam kitab أضواء البيان في إيضاح القرآن بالقرآن.

Beliau menyebutkan bahawa Allah menjadikan apa yang diperlihatkan kepada Nabi S.A.W daripada perkara dan peristiwa yang pelik dan ajaib pada malam Israk dan Mi’raj adalah sebagai satu ujian kepada orang ramai. Ini kerana ada di antara yang tidak langsung mempercayai apa yang dikhabarkan oleh Nabi S.A.W.  Ada yang mengatakan bahawa ianya tidak mungkin berlaku. Mereka mengatakan juga bagaimana mungkin Baginda solat di Baitul Maqdis dan pergi ke tujuh tingkatan langit serta melihat keseluruhannya pada satu malam sahaja kemudian pada waktu pagi berada di Makkah. Inilah satu ujian kepada mereka yang ragu-ragu.

Apatah lagi peristiwa ini terjadi ketika pembesar Makkah sedang mencari modal untuk meragukan masyarakat Makkah terhadap Nabi S.A.W. 

Apabila mendengar khabar bahawa Nabi S.A.W pergi ke Baitul Maqdis di Palestin, kemudian bermi’raj bertemu Allah S.W.T, pembesar Makkah seolah-olah mendapat modal baru untuk meragukan masyarakat Makkah.

Namun, apabila ditanya kepada Baginda S.A.W, Baginda S.A.W mengemukakan gambaran Baitul Maqdis sebagai hujah yang meyakinkan bahawa Baginda S.A.W benar-benar ke sana.

Nabi S.A.W bersabda;

لَمَّا كَذَّبَتْنِى قُرَيْشٌ قُمْتُ في الْحِجْرِ فَجَلاَ اللهُ لي بَيْتَ الْمَقْدِسِ، فَطَفِقْتُ أُخْبِرُهُمْ عَنْ آيَاتِهِ وَأَنَا أَنْظُرُ إِلَيْهِ

“Ketika Kafir Quraisy mendustakanku, aku berdiri di Hijr Ismail, lalu Allah memperlihatkan kepadaku Baitul Maqdis, kemudian aku mulai menceritakan kepada mereka ciri-cirinya sambil aku melihatnya.”

(Hadis Riwayat al Bukhari)

Di sini kita dapat lihat, bagaimana Nabi S.A.W bukan sekadar menyatakan Baginda S.A.W ke Baitul Maqdis dalam satu malam, akan tetapi diiringi dengan hujah yang rasional, agar mengukuhkan keyakinan terhadap kenyataannya.

Keimanan Saidina Abu Bakar as-Siddiq

Diriwayatkan dalam Hadis Shahih, bahawa ketika mana kisah Isra’ dan Mi’raj ini tersebar di kalangan orang Makkah, ada dari kalangan mereka yang tidak percaya. Pembesar Makkah yang selama ini mencari cari modal untuk meragukan dakwah Nabi S.A.W, datang bertemu Saidina Abu Bakar.

Mereka datang kononnya untuk menimbulkan keraguan Saidina Abu Bakar terhadap Nabi S.A.W. Namun, usaha mereka gagal. Bahkan, Saidina Abu Bakar R.A menjawab;

لئن كان قال ذلك لقد صدَقَ

Sekiranya benar Baginda S.A.W berkata demikian, maksudnya dia benar.

Mereka bertanya lagi:

أو تُصَدِّقُه أنه ذهب الليلةَ إلى بيتِ المقدسِ و جاء قبل أن يُصبِحَ ؟

Kamu masih membenarkan dakwaannya pergi ke Baitul Maqdis di malam hari, dan tiba di sini sebelum Subuh?

Saidina Abu Bakar menjawab;

نعم إني لَأُصَدِّقُه فيما هو أبعدُ من ذلك ، أُصَدِّقُه بخبرِ السماءِ في غُدُوِّه أو رَوْحِه

Ya, aku pasti membenarkan kata-katanya sekalipun Baginda S.A.W menyatakan pergi lebih jauh dari itu. Aku turut membenarkan kenyataannya naik ke langit.

Di sini kita dapat saksikan bahawa keimanan Saidina Abu Bakar tidak ‘tergoyang’ dengan keraguan-keraguan yang ditimbulkan oleh para pembesar Makkah. Ini kerana, beliau begitu yakin dengan kenabian Nabi Muhammad S.A.W.

Ulasan Sayyid Qutb dalam Fi Zhilal Quran

Di dalam Fi Zhilal al Quran, Sayyid Qutb membuka huraian Surah al Isra’ dengan menyatakan:

هذه السورة – سورة الإسراء – مكية، وهي تبدأ بتسبيح الله وتنتهي بحمده; وتضم موضوعات شتى معظمها عن العقيدة; وبعضها عن قواعد السلوك الفردي والجماعي وآدابه القائمة على العقيدة; إلى شيء من القصص عن بني إسرائيل يتعلق بالمسجد الأقصى الذي كان إليه الإسراء. وطرف من قصة آدم وإبليس وتكريم الله للإنسان. 

Surah ini (Surah Isra’) diturunkan di Makkah dan dimulai dengan tasbih (menyucikan) Allah S.W.T, dan diakhiri dengan pujian kepadaNya. Terkandung di dalamnya banyak perbahasan, kebanyakannya membahaskan dalam bab Aqidah. Ada juga sebahagiannya membahaskan kaedah kehidupan individu dan berkumpulan, serta peradabannya yang terbina di atas tiang aqidah. Hinggalah kepada perbahasan mengenai kisah Bani Israel yang ada kaitannya dengan Masjidil Aqsa yang menjadi destinasi Isra’. Ada juga dibahaskan mengenai Kisah Nabi Adam A.S dan pemuliaan Allah S.W.T terhadap manusia:

 ولكن العنصر البارز في كيان السورة ومحور موضوعاتها الأصيل هو شخص الرسول – صلى الله عليه وسلم – وموقف القوم منه في مكة . هو والقرآن الذي جاء به، وطبيعة هذا القرآن، وما يهدي إليه، واستقبال القوم له. واستطراد بهذه المناسبة إلى طبيعة الرسالة والرسل، وإلى امتياز الرسالة المحمدية بطابع غير طابع الخوارق الحسية وما يتبعها من هلاك المكذبين بها. 

Akan tetapi, unsur yang paling utama sekali di dalam binaan surah ini dan paksi perbahasannya yang utama ialah keperibadian Rasulullah S.A.W itu sendiri, serta pendirian kaum di Makkah terhadapnya. Iaitu persoalan mengenai al-Quran itu sendiri dan apa yang diserukan, serta penerimaan kaum terhadapnya. Sehubungan dengan perbahasan-perbahasan ini, ia menanggung persoalan tabiat Risalah dan Para Rasul di samping menceritakan keistimewaan Risalah Nabi Muhammad S.A.W, yang berlainan daripada mukjizat hissiyyah dan akibat yang membinasakan golongan pendusta:

وإلى تقرير التبعة الفردية في الهدى والضلال الاعتقادي، والتبعة الجماعية في السلوك العملي في محيط المجتمع.. كل ذلك بعد أن يعذر الله – سبحانه – إلى الناس، فيرسل إليهم الرسل بالتبشير والتحذير والبيان والتفصيل وكل شيء فصلناه تفصيلا .

Seterusnya membahaskan mengenai penetapan tanggungjawab individu terhadap hidayah dan kesesatan aqidah serta tanggungjawab kumpulan (kelompok) terhadap perilaku amali di dalam lingkungan masyarakat. Semua tanggungjawab ini dipundakkan ke atas mereka selepas Allah S.W.T menerangkan sebabNya kepada manusia dengan mengutuskan Para RasulNya kepada mereka untuk menyampaikan berita gembira, amaran dan peringatan, penjelasan dan perincian. Allah S.W.T berfirman وكل شيء فصلناه تفصيلا “Segala sesuatu kami telah jelaskan dengan terperinci (12)”

Kesimpulan

Selain daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj, antara peristiwa bersejarah yang berlaku ketika itu ialah peristiwa terbelahnya bulan. Imam Ibnu Kathir menyatakan di dalam البداية والنهاية bahawa peristiwa ini terjadi di antara Isra’ dan Mi’raj dan Tahun Kesedihan.

Peristiwa besar ini disaksikan secara jelas oleh masyarakat Makkah. Imam Qurtubi menukilkan di dalam الجامع لأحكام القرآن bahawa pembesar Makkah ketika itu mencabar Nabi S.A.W untuk membuktikan kenabian Baginda S.A.W.

Beliau juga menukilkan bahawa Saidina Hamzah yang ketika itu baru memeluk Islam, merasa berang dengan penghinaan Abu Jahal ke atas Baginda S.A.W. Lalu, beliau meminta supaya Nabi S.A.W menunjukkan bukti bagi meningkatkan keimanannya.

Keraguan ke atas Nabi S.A.W dijawab dengan peristiwa terbelahnya bulan, yang disaksikan oleh masyarakat Makkah. Sepatutnya masing-masing akan beriman. Namun, pembesar Makkah masih meneruskan agenda penentangan terhadap Nabi S.A.W.

Manakala orang yang beriman, semakin kukuh keimanan dan kepercayaan mereka dengan kenabian Nabi S.A.W. Keyakinan umat Islam bukanlah terbina atas dakwaan semata-mata, akan tetapi ia terbina atas dasar pembuktian yang jelas. 

Bukti demi bukti ditunjukkan sebagai hujah untuk menggambarkan bahawa Islam agama yang rasional dan diterima oleh akal yang sihat.

MUHAMMAD MUJAHID IR HAJI MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 29/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -