4 rumah penduduk berdepan risiko runtuh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan akan mengambil langkah segera bagi mengelak runtuhan lebih teruk berlaku akibat hakisan sungai di Taman Haji Hadi Pendek dekat sini.

- Advertisement -

Pemangku Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, Marinamarican Abdullah berkata, pihaknya sebelum ini mengangkat permohonan kepada Kerajaan Persekutuan mengenai perkara tersebut.

“Kita akan mengikuti lebih lanjut mengenai permohonan yang dibuat sebelum ini supaya tindakan segera dapat diambil dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui semasa meninjau hakisan sungai di Taman Haji Hadi Pendek hari ini. (Foto atas)

Hadir sama Adun Salor, Mohd Saizol Ismail dan pimpinan masyarakat tempatan.

Terdahulu media melaporkan, penduduk di Taman Haji Hadi Kampung Gaung, Pendek bimbang berikutan tebing sungai yang terletak kurang satu meter dari kediaman mereka runtuh.

Penduduk mendakwa runtuhan mula berlaku sejak 2009 dan runtuhan terbaru Khamis lalu.

Mohd Saizol pula berkata, beliau menerima aduan penduduk mengenai kejadian tersebut dan berharap agensi berkaitan mengambil perhatian segera untuk mengelak hakisan lebih teruk.

“Kita mengambil maklum tentang perkara itu dan kes tebing sungai runtuh di lokasi terbabit sudah dimasukkan dalam agenda Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 2.

“Saya dimaklumkan sebelum ini JPS sudah mengambil tindakan termasuk mengangkat kertas cadangan kepada kementerian,” katanya.

Sementara itu tinjauan Harakahdaily ke kawasan terbabit mendapati empat rumah penduduk berisiko runtuh kerana kerana kedudukannya berhampiran tebing sungai. – HARAKAHDAILY 29/1/2024