PAS Pahang diperkemas, siap sedia terajui negeri

- Advertisement -

KUALA KRAU: PAS Pahang komited perkemas pengetahuan hal ehwal tadbir urus negeri dengan menjemput wakil-wakil negeri dalam State Government 4 (SG4) sebagai persediaan menerajui negeri.

- Advertisement -

Dalam Konvensyen PAS negeri berlangsung sehari di Kompleks Al Makmur, Kerdau semalam, sebanyak tiga kertas kerja dibentang melibatkan wakil dari negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Program dimulakan dengan pembentangan slot pertama, ‘Memerintah dengan Prinsip Islam: Iktibar dari Kelantan’ oleh Pengarah Unit Pemantauan Dan Pelaksanaan Strategik, Pejabat Menteri Besar Kelantan, Dr. Mohd Huzairi Husain.

Disusuli pembentangan slot kedua oleh Nain Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan tumpuan kepada usaha yang diambil oleh PAS dalam menggalakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat.

Seterusnya wakil Menteri Besar Kedah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Mohd Azam Abd Samat, membentang kertas kerja terakhir bertajuk, ‘Pembangunan Ekonomi dan Kelestarian Kedah @The Greater Kedah’.

Konvensyen turut bersetuju menetapkan lima perkara asas bagi merealisasikan matlamat ‘PAS Teraju Pahang’ melalui Resolusi Kerdau 2024.

Antara resolusi mencuri tumpuan adalah azam PAS Pahang menampilkan satu model kepimpinan sejahtera yang dapat diterima dan diamalkan oleh semua lapisan masyarakat pelbagai agama, kaum dan budaya dengan mengamalkan politik matang dan sejahtera.

Turut digariskan adalah usaha dan tekad parti itu melaksanakan segala strategi, arahan dan keputusan parti bagi merealisasikan matlamat PAS Teraju Pahang oleh jentera semua peringkat.

Resolusi tersebut telah dibentang oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Andansura Rabu merangkap pengarah program dan diserahkan kepada Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man sekali gus merasmikan majlis penutup. (Foto atas)

Turut berkumandang buat kali pertama adalah lagu ‘PAS Teraju Pahang’ dendangan Shoutul Amal diilhamkan sendiri senikatanya oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar ketika berada di Makkah dua minggu lalu. – HARAKAHDAILY 28/1/2024