KOTA BHARU: Bukit Keluang yang terletak di Kuala Besut, Terengganu menjadi antara lokasi pilihan pendaki atau mereka yang baru mahu berjinak-jinak dengan aktiviti ‘hiking’ kerana tidak terlalu tinggi.
Bukit Keluang mempunyai tarikan tersendiri yang mampu memukau para pengunjung tempatan dan luar negara kerana ia mempunyai keindahan dan keunikannya tersendiri.
Bukit Keluang terletak empat kilometer dari pekan Kuala Besut, sering menjadi tumpuan utama pengunjung pada hujung minggu untuk melakukan aktiviti mendaki bukit bersama keluarga dan rakan-rakan.
Segala keletihan bagaikan hilang sebaik melihat keindahan ciptaan Maha Pencipta apabila berada di atas puncak itu. Ini adalah antara nikmat yang diburu setiap pendaki dan juga mereka yang berkunjung.
Bagi pencinta alam tegar, keindahan alam semula jadi dengan desiran angin laut bertiup lembut memberi rasa ketenangan mampu mengasyikkan jiwa, sekali gus mencetuskan kerinduan berpanjangan untuk kerap mendaki puncak itu.
Seorang pengunjung, Rafiqah Razi, 27, berkata, beliau kerap mendaki terutama apabila mempunyai masa terluang pada hujung minggu.
Katanya, untuk menikmati saat keemasan itu, setiap yang datang perlu mendaki bukit berketinggian 300 meter dari aras laut.
“Setiap kali saya mahu mendaki ke puncak Bukit Keluang, kebiasaanya saya akan datang bersama keluarga atau rakan-rakan bagi menikmati keindahan di sini.
“Selain ingin menikmati keindahan alam yang nyaman sudah tentu aktiviti ini juga untuk meningkatkan stamina badan kita supaya lebih sihat dan bertenaga.
“Kebiasaanya kalau kita dengar mereka melakukan aktiviti ini untuk menjaga kesihatan diri dan dapat mengeluarkan peluh, ini antara salah satu sebab lah,” katanya.
Sementara itu, Aisyah, 29, berkata, aktiviti mendaki bukit menjadi pilihan buatnya sebagai salah satu aktiviti yang dapat memberi kebaikan dalam menjaga kesihatan.
“Apabila kita melakukan aktiviti ini yang penting kita buat untuk kesihatan kita. Kalau kita rasa mahu tukar daripada berjogging atau bersenam sekali sekala boleh juga ‘hiking’ sambil melihat keindahan alam dari puncak Bukit Keluang.
“Menikmati keindahan alam tidak sama dengan mendengar pengalaman orang kerana kita sendiri yang boleh rasa betapa nyaman udara segar di puncak bukit dan melihat Pulau Perhentian dari jauh,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2024