KLIP diteruskan: Setimpalkah pampasan nelayan?

Lakaran KLIP. (Foto daripada web Linggi Base)
- Advertisement -

MASJID TANAH: Tindakan Kerajaan Negeri Melaka meneruskan pembinaan Kuala Linggi International Port (KLIP) menimbulkan persoalan tentang nasib nelayan tempatan di situ.

- Advertisement -

Menurut Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Imran Abdul Rahman, ini kerana dengan wujudnya projek itu nelayan-nelayan di situ kehilangan kawasan menangkap ikan turun-temurun.

“Berdasarkan maklumat, kita difahamkan pada November tahun lepas kerajaan umum telah memperuntukkan pampasan sebanyak RM5.4 juta kepada 463 nelayan Kuala Linggi dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ustaz Imran Abdul Rahman

“Kita difahamkan ada perbezaan pampasan antara pemilik bot berbanding awak-awak. Tetapi jika kita hitung purata hanya sekitar RM11,663 seorang sahaja mereka dapat,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, dengan terlaksananya projek KLIP, bermakna nelayan menghadapi risiko hilang mata pencarian secara kekal dan terpaksa mencari pekerjaan lain, maka pampasan itu harus setimpal dengan kerugian yang mereka tanggung.

Pada Selasa, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah menyempurnakan majlis pecah tanah KLIP yang berlangsung di Kuala Linggi.

Pelabuhan tersebut yang berkeluasan 251 hektar dibina secara berfasa yang bakal mengambil masa 42 bulan untuk disiapkan dan menelan belanja RM15 bilion.

Ustaz Imran yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah itu berkata, selain itu, kerajaan negeri juga harus mengambil tindakan tuntas bagi mengatasi isu keterjaminan makanan yang bakal dihadapi rakyat negeri ini ekoran projek tersebut.

“Isu keterjaminan makanan ini isu global. Sepatutnya kerajaan negeri lebih mengambil berat tentang perkara ini berbanding dengan laba yang akan diperolehi kerajaan daripada projek ini.

“Sebab kita lihat tambakan laut ini bukan di Kuala Linggi sahaja, tetapi melibatkan sebahagian besar pantai di negeri Melaka ni. Jadi apa tindakan kerajaan negeri dalam isu ini sedangkan kita memang sedang berdepan masalah keterjaminan makanan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/1/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -