Mufti tidak patut disanggah bila beri pendirian agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemimpin kerajaan selaku eksekutif pentadbiran negara tidak seharusnya mengganggu perjalanan atau tanggungjawab seorang Mufti dalam memberikan pandangan lebih-lebih lagi berkaitan hukum Islam.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, Mufti berperanan untuk memberikan pandangan terhadap satu hukum berdasarkan kepada keilmuan yang ada kepadanya.

Maka dengan sebab itu ujar beliau, seseorang Mufti selalunya memberikan satu pandangan yang tidak mempunyai sebarang kepentingan ataupun bias pada mana-mana pihak sekalipun.

“Mufti hanya beri pandangan berdasarkan kepada keilmuannya, memberikan pandangan berdasarkan kepada pengetahuan dia. Sudah tentulah nak menjadi seorang Mufti, dia mempunyai kemampuan untuk memberikan satu pandangan.

- Advertisement -

“Iaitu berdasarkan kepada al-Quran, hadis, ijmak, qias. Maka dengan sebab itu kita perlu menghormati pandangan mereka selagi ianya bertepatan dengan nas syarak,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, adalah satu perkara yang tidak elok sekiranya ada kalangan eksekutif kerajaan cuba campur tangan apatah lagi menyanggah seorang Mufti.

Menurut beliau, perbuatan seperti itu adalah satu tindakan yang tidak baik, sedangkan Mufti bercakap berasaskan tanggungjawabnya kepada hukum dan berdasarkan kepada rujukan muktabar.

Ustaz Idris menyatakan demikian ketika diminta mengulas reaksi negatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar terhadap jawapan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah berkenaan hukum bekerja di bank konvensional.

Beliau turut diminta memberi komentar berhubung permohonan maaf Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor susulan teguran terbukanya terhadap penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkaitan penganjuran konsert menjelang Ramadan.

Katanya, seorang Mufti juga mesti berpendirian teguh dengan pandangan mereka dan tidak perlu untuk gusar atau bimbang dengan cercaan orang lain kerana itu adalah merupakan lumrah yang ada kepada seorang ulamak.

“Apabila dia beri pandangan yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan peribadi pada mereka. Sebaliknya hanyalah menjalankan tugas semata-mata. Jadi tak perlu untuk mereka terpengaruh dengan apa sahaja kritikan.

“Netizen mereka kritik dan sebagainya itu bukan berdasarkan kepada nas ataupun bukan berdasarkan kepada keilmuan yang ada, berbanding dengan Mufti,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/1/2024

- Advertisement -