KGT perkenal reka bentuk ‘gold bar’ bertema Palestin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan Gold Trade (KGT) memperkenalkan dua reka bentuk gold bar bertema Palestin sebagai menzahirkan tanda prihatin terhadap umat Islam di negara tersebut.

- Advertisement -

Pengurus KGT Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad berkata, KGT mengeluarkan dua reka bentuk bertema Palestin seberat 0.5 gm dengan emas 999 berbentuk gold bar pada harga RM220 setiap unit.

Kata beliau sebanyak 500 keping bagi setiap reka bentuk disediakan kepada orang ramai yang berminat untuk dijadikan simpanan nilai masa hadapan.

“Kami mengambil ilham berkenaan sebagai pembukaan tahun 2024 dalam usaha mempergiatkan lagi jualan dinar dan dirham kepada orang ramai.

“InsyaAllah ia akan dilancarkan pada Febuari ini dan perkara itu dipersetujui mesyuarat lembanga pengarah KGT baru-baru ini,” katanya di sini.

Wan Muhammad Najahuddin juga berkata, setiap pembeli akan memperolehi kelebihan iaitu simpanan nilai, memperingati penderitaan rakyat Palestin dan menyumbang untuk mereka.

Menurutnya juga setiap pembelian akan disalurkan kepada tabung Palestin sebanyak RM10.

Kata beliau gold bar tersebut begitu unik memandangkan terdapat reka bentuk Masjidil Aqsa dan Kelantan bagi menzahirkan kerajaan negeri bersimpati terhadap nasib yang menimpa umat Islam di Palestin.

“Reka bentuk gold bar tersebut dijangka mencecah sehingga 3,000 unit bagi setiap reka bentuk,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/1/2024

- Advertisement -