Tapak jambori dibatal, dapat ganti tempat lebih baik

- Advertisement -

KUALA LIPIS: Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd. Zarimi Abu Zih kesal atas tindakan pihak tertentu membatalkan lokasi asal program anjuran Jabatan Amal negeri, di sini. 

- Advertisement -

“Saya merasa sungguh kesal atas apa yang berlaku walhal pada asalnya pihak kita dah dapat kelulusan namun dibatalkan.

“Akhirnya, Allah berikan kita tempat yang lebih baik, tanah kawasan hak milik ahli kita, alhmdulillah, kehendak Allah belaka,” ujarnya ketika merasmikan Jambori Perkhemahan Tahunan Amal negeri, kelmarin yang berlangsung di tempat baharu iaitu di Kampung Batu Beruk, Padang Tengku.

Menurutnya, lokasi asal jambori tersebut adalah di Tasik Selimbang dan telah mendapat kelulusan tetapi terpaksa dibatalkan saat-saat akhir kerana campur tangan ahli politik yang tidak amanah dan bertanggungjawab.

Jambori tiga hari itu disertai ahli-ahli Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang (JAMNP) atau sinonim dengan panggilan tentera ‘semut merah’ daripada seluruh negeri.

“Tahniah buat Pengarah JAMNP Pahang Halmi Ismail Achik dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan jambori kali ini.

“Biarpun berdepan kekangan, semangat kita tak rebah, terus berprogram hingga akhir. Tahniah kepada semua ahli. Teruskan tiga agenda aspek kesyumulan jemaah iaitu tarbiah, dakwah dan politik,” ujarnya.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS negeri, Ustaz Roslan Zainal merangkap Yang Dipertua PAS (YDP) Lipis, Naib Ketua Pemuda negeri, Ustaz Zulfadli Zakariah, Pengarah JAMNP, Halmi Ismail, penasihat JAMNP, Ustaz Shahadin Ahmad, YDP PAS Raub, Mohammad Mat Saad dan Ketua Pemuda PAS Lipis, Muhammad Khaider Kamil. – HARAKAHDAILY 22/1/2024