PAC mula prosiding isu MLFF pada Feb

Mas Ermieyati mengumumkan persetujuan telah dicapai sebulat suara dalam perbincangan khas ahli-ahli PAC di Parlimen.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bercadang memulakan prosiding berhubung Pengurusan Pelaksanaan Sistem Tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) pada minggu pertama sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula 26 Feb ini.

Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya akan memanggil wakil Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) serta mendapatkan pandangan daripada operator lebuh raya berhubung pelaksanaan MLFF pada prosiding berkenaan.

- Advertisement -

“Persetujuan dicapai sebulat suara dalam perbincangan khas ahli-ahli PAC di Parlimen dan Jawatankuasa ini akan menggunakan punca kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat (PM) 77(1)(d) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat (PPMDR), Arahan Perbendaharaan 301 Tahun 2023 dan Seksyen III Perkara 11 (b) Pekeliling Am No. 2 (1982),” katanya dalam satu kenyataan,di sini,  hari ini.

Dalam perkembangan lain, bagi tujuh isu yang dipilih daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, tiga daripadanya, yang terdiri daripada isu Pengurusan Pembangunan Hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi, Syarikat UiTM Holdings Sdn. Bhd. dan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara, telah selesai sepenuhnya.

Mas Ermieyati

Sementara, prosiding bagi empat isu lain melibatkan Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx), Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS), Pengurusan Hutan dan Impak kepada Alam Sekitar, serta  Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah akan diteruskan dengan prosiding susulan.

Tambah  Ermieyati, jawatankuasa berpendapat masih ada penjelasan yang perlu diberikan kementerian berkenaan berkaitan tajuk-tajuk terbabit.

“PAC juga akan meninjau bangunan sekolah daif di Sarawak dan Sabah bagi melengkapkan prosiding Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah dan jawatankuasa itu komited untuk membentangkan semua laporan berkaitan pada sidang Parlimen depan,” katanya.  HARAKAHDAILY  22/1/2024

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!