Pemimpin Umno gelabah amat sangat

- Advertisement -

KATA orang tua-tua, kalau tiada angin pokok tidak bergoyang. Itulah lumrah yang berlaku sejak dahulu sehingga sekarang. Maksudnya tidak pelik lagi bagi kes membabitkan aktor politik.

- Advertisement -

Begitu juga cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Penggal Tetap Parlimen.
Mengapa cadangan itu tiba-tiba muncul. Kalau tiada udang di sebalik batu cadangan tersebut tidak diuar-uarkan.

Lagi pun sebelum ini pemimpin Kerajaan Madani bermati-matian menafikan ada peralihan sokongan ahli-ahli parlimen kepada perdana menteri.

Kalau tidak betul khabar tarik sokongan terhadap perdana menteri, buat apa perlu gusar sangat. Namun, kalau kita perhatikan pemimpin Umno gelabah amat sangat.

Berbeza dengan parti di Sarawak dan Sabah. Pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak kelihatan kalut. Begitu juga Warisan dan parti lain.

Sedangkan United Kindom (UK) pernah melaksanakan RUU seperti dicadang Zahid Hamidi. Akta Penggal Tetap parlimen di England dilaksana pada 2011.

Namun, selepas lapan tahun dikuasakan akhirnya ditarik balik. Ternyata RUU seperti diimpikan Zahid tidak mampu menjamin kestabilan kerajaan.

Dr Nik Ahmad Kamil berhujah sekiranya RUU itu mahu dikuatkuasakan ia akan mengurangkan lagi kuasa Yang di-Pertuan Agong. Ini kerana kuasa membubarkan Parlimen di bawah bidang kuasa baginda.

Bagi Dr Fathi Yusof pula kerajaan perlu meminda Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan sekiranya RUU itu mahu dilaksanakan.

“Selagi undang-undang berkenaan wujud maka jawatan terbabit (PM) tertakluk kepada kepercayaan majoriti ahli parlimen,” katanya pada kenyataan di laman sosial.

Dr Mazlan Ali awal-awal lagi berhujah Akta Anti Lompat Parti sudah memadai. Maka RUU seperti diimpi Zahid dianggap tidak perlu.

Persoalannya mengapa Zahid beriya-iya mahu mengemukakan cadangan RUU Penggal Tetap Parlimen. Secara lojik sepatutnya Anwar Ibrahim lebih panik dan bukannya Zahid. Namun apa yang berlaku sekarang seperti terbalik.

Apakah betul berita di sebalik tabir, Zahid seperti keseorangan. Hanya Azalina Othman dan Ahmad Maslan yang buat kenyataan sokongan. Sedangkan Umno mempunyai 23 lagi ahli parlimen.

Khabarnya dua ahli parlimen MCA dan seorang MIC juga tidak berada di kem Zahid. Mereka lebih selesa dengan Timbalan Presiden Umno Muhamad Hassan.

Kes mahkamah

Biarpun Mat Hassan dipindah ke Kementerian Luar daripada Kementerian Pertahanan, namun dia dilihat ada wibawa. Tiada isu mahkamah yang membelit kakinya.

Berbeza jauh dengan Zahid. Karier politiknya sekadar diselamatkan sementara kerajaan Madani. Ramai yakin sekiranya bertukar teraju di Putrajaya, 47 kes Zahid di mahkamah dijulang semula.

Zahid sebelum ini berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagaimanapun pada 4 September 2023 Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

Kes terbabit mendapat respon pelbagai pihak. Ramai terkejut. Majlis Peguam menyifatkan keputusan bebas tanpa dilepaskan Zahid sebagai tidak mempunyai justifikasi sewajarnya.

Presidennya, Karen Cheah dilapor berkata, banyak perkara tidak menyenangkan berlaku antara surat representasi pertama yang dihantar pihak pembelaan bertarikh 8 Disember 2022, berlaku lebih tiga tahun selepas kes itu dimulakan di Mahkamah Tinggi.

Keraguan juga dikesan berlaku pada 30 Ogos 2022 apabila pendakwa raya menarik balik surat yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi agar mengutama perbicaraan Zahid melebihi kes 1MDB melibatkan Najib Razak.

Bebanan mengangkat semula isu Zahid akan menanti kerajaan baharu. Maka berdasar kronologi itu ada sebab Zahid cepat-cepat mencadangkan RUU Penggal Tetap Parlimen. Mungkin penduduk Bagan Datuk sudah lama menghidunya.

Apa pun kita tunggu akhir Februari nanti. Sidang Dewan Rakyat dijadual berlangsung bermula 26 Februari hingga 27 Mac 2024. Debar Zahid mungkin tambah kencang lagi. – HARAKAHDAILY 19/1/2024

- Advertisement -