Perkara luar perlembagaan yang fleksibel boleh dirunding

- Advertisement -

PETALING JAYA: Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan PAS merupakan parti politik yang ada teras, prinsip dan dasar sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan. 

- Advertisement -

Menurut Naib Presiden PAS itu, apabila ada perlembagaan maka menjadi tanggungjawab bagi parti-parti politik seperti PAS mengikut perlembagaan.

Katanya, ada pun ruang-ruang yang ada di luar daripada dalam perlembagaan itu adalah perkara yang fleksibel yang boleh dirunding dan dilibat urus.

Beliau berkata demikian susulan pandangan penganalisis politik, Wong Chin Huat berpendapat sasaran PAS menjadi parti pilihan orang bukan Islam pada 2030 mungkin boleh dicapai jika parti tersebut bersedia mengubah beberapa pendirian dan polisi mereka, sebagaimana yang disiarkan sebuah portal berita.

Sehubungan itu, Dr. Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, ada kalanya perkara-perkara seperti itu berlaku silap faham kerana maklumat yang tidak tepat, kurangnya maklumat dan sebagainya.

“Jadi, saya rasa sebelum kita sampai ke situ maka yang lebih penting ialah untuk PAS sebagai sebuah parti yang besar dan mempunyai keanggotaan ahli parlimen dan Adun yang paling besar pada waktu ini.

“Wakil rakyat PAS perlu terus giat melakukan libat urus untuk memahami apakah kehendak dan keperluan kelompok-kelompok yang ada dalam negara kita.

“Di Sabah, Sarawak dan Semenanjung pun ada kelompok-kelompok yang jarang dilibat uruskan.

“Jadi ini merupakan asas yang pertama sebelum kita boleh memahami dan bagaimana hendak uruskan perkara-perkara seperti ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pemukiman Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat di Hotel Tabung Haji, Kelana Jaya, petang tadi. 

Beliau percaya fleksibiliti yang ada pada PAS akan membolehkannya untuk menjadi sebuah parti yang jujur, tidak menipu ahli-ahli dan rakyat.

“Mana yang boleh kata bolehlah, bukan kerana nak dapatkan sokongan maka kita terpaksa menipu pengundi dan sebagainya.

“Jadi, insya-Allah PAS perlu mengambil masa dan merancang strategi bagaimana untuk menyampaikan mesej dalam kelompok yang pelbagai ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/1/2024

- Advertisement -